Tuesday, 22 February 2011

Nasib Sungai Selangor


THURSDAY, MAY 29, 2008

Wednesday, March 15, 2006


Masih terbayang di dalam ingatan penulis mengenai kenangan masa lampau sewaktu tinggal di perkampungan orang asli Bkt Mancung sewaktu zaman kanak-kanak. Ketika itu arwah bapa penulis bertugas sebagai guru mengajar kanak-kanak masyarakat orang Asli di situ. Kerajaan telah menyediakan sebuah bangunan sekolah bagi menempatkan aktiviti pembelajaran dan hanya ada satu kelas sahaja ketika itu. Bahagian depan bangunan dijadikan bilik darjah manakala di bahagian belakang pula dijadikan bilik kediaman kami sekeluarga.



Suasana yang tenang, aman dan damai bergaul dengan masyarakat orang Asli merupakan satu pengalaman yang sangat berguna buat penulis. Penulis ketika itu masih belum bersekolah dan sering menghabiskan masa bermain dengan kawan-kawan di sebuah anak sungai yang terdapat di situ. Airnya yang jernih, sejuk dan nyaman memang menggembirakan kami semua bermain di dalam air sungai tersebut.



Kami akan berkejaran antara satu sama lain sambil bermandi-manda hingga sehari suntuk lamanya.Nostalgia ini mengimbau kembali kenangan hingga memaksa penulis mendapatkan bantuan bekas Pengarah Jabatan Orang Asli Negeri Selangor iaitu saudara Razak untuk melihat semula bekas kampung yang telah lama ditinggalkan.



Perkampungan Masyarakat Orang Asli Bkt Mancung telah dihimpit arus pembangunan dan urbanisasi. Terdapat beberapa projek pembangunan perumahan seperti Bukit Beruntung dan lain-lainnya di sekitar kawasan penempatan ini. Bangunan sekolah dan rumah kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal penulis sudah tiada lagi. Anak-anak masyarakat orang Asli semuanya bersekolah di sekolah yang disediakan oleh pihak kerajaan di sekitar kawasan berdekatan.



Yang menyedihkan penulis ialah sungai yang pernah menjadi tempat bermain sudah tiada lagi dan keadaannya telah berubah menjadi sebuah parit yang kecil dan sempit. Sungai ini juga dulu asalnya salah sebuah anak sungai yang mengalir ke dalam sungai Selangor.Apabila memasuki alam persekolahan di Jeram Kuala Selangor sekitar tahun 60an arwah bapa sering membawa penulis ke Kuala Selangor.



Tujuannya ialah untuk menaiki feri dan bot penumpang yang berulang-alik menyeberangi sungai Selangor. Pada ketika itu jambatan yang menghubungi Kuala Selangor dengan kawasan di seberang sungai Selangor masih belum terbina. Hanya melalui pengangkutan bot dan feri ini sahaja kaedah perhubungan dilakukan. Begitu sibuk dan meriahnya suasana di persisiran pantai dan sungai Selangor ketika itu dengan gelagat manusia dan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijalankan.



Penulis juga akan mendaki bukit Melawati untuk menghirup udara segar dan menikmati tiupan angin bayu serta melihat pemandangan yang cantik di muara sungai Selangor dari puncak bukit Melawati.Pemandangan yang begitu indah serta panaromik sekali!Namun demikian suasana dan keadaan ini sudah berubah sama sekali.Muara sungai Selangor tidak lagi sesibuk dahulu dan kegiatan pengangkutan sungai sudah tidak digunakan lagi.Air sungai yang dulunya jernih kini telah berkeladak dan menjijikkan mata memandang.Sungai Selangor yang satu ketika dulu pernah menjadi mercu tanda kehebatan Negeri Selangor kini nasibnya dirundung malang.



Buletin Utama TV3 pada 12 Mac 2006 yang lalu telah membongkar misteri kehancuran sungai Selangor. Sungai yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi tujuan bekalan air minuman sekitar Lembah Klang telah dicemari oleh pelbagai aktiviti pembangunan yang tidak terkawal. Terdapat beberapa lokasi pengorekan pasir yang menjejaskan kualiti air sungai Selangor melalui pelepasan kelodak dan pepejal terampai yang menyumbang kepada kekeruhan sungai Selangor.



Di samping itu juga terdapat beberapa ladang ternakan babi dan lembu yang menghampiri tepi tebing sungai Selangor di mana buangan najis haiwan ternakan ini dilepaskan terus ke dalam sungai Selangor. Buangan pelepasan dari industri, tapak pelupusan sampah, rumah sembelihan babi, kumbahan dan air larian permukaan dari kawasan kebun sayur dan perladangan serta perbandaran mencemari kualiti air sungai Selangor.



Tidak hairanlah jika kualiti air mentah sungai Selangor berada pada paras yang amat membimbangkan sekali.Tindakan drastik harus diambil bagi memastikan sungai Selangor tidak berterusan diambang maut dan menjadi sungai yang mati. Pembangunan kawasan tadahan sungai Selangor perlulah dirancang dengan teliti dengan mengambilkira kepentingan serta fungsi sungai Selangor sebagai sumber bekalan air minuman yang terpenting. Usaha bersepadu perlulah digembeling bagi menghidupkan kembali pelbagai aktiviti berfaedahnya seperti bekalan air minuman, rekreasi, perikanan, pengairan dan sistem pengangkutan yang berpotensi untuk dimajukan.



Tambahan pula di lembangan sungai ini juga terdapatnya habitat kelip-kelip yang menjadi daya tarikan pelancung dalam dan luar negara yang dapat menjana ekonomi eko-pelancungan negara.Kerajaan Negeri Selangor pernah menolak permohonan dari sebuah syarikat untuk menempatkan sebuah kilang berasaskan kertas di lembangan sungai Selangor tidak lama dulu semata-mata atas keprihatinan menjaga kehidupan kelip-kelip agar tidak diancam kepupusan akibat pencemaran yang akan terjana.



Ironisnya, kenapa pula ketegasan yang sama tidak diteruskan dalam menempatkan industri yang mencemar di hulu lembangan sungai seperti pusat sembelihan babi, tapak pelupusan sampah, kilang-kilang yang menghasilkan sisa berwarna serta bersifat toksik dengan kandungan logam berat, organik dan bukan organik yang tinggi yang sudah pasti menjejaskan mutu kualiti air sungai Selangor.Kawalan pembangunan mestilah dilaksanakan dengan penuh komitmen dan bersepadu oleh pelbagai agensi dan Jabatan yang berkaitan samada di peringkat pusat mahupun negeri.



Nasib sungai Selangor memerlukan pembelaan yang sewajarnya.Bukan mencari kesalahan ataupun mempersoalkan ketelusan pihak-pihak tertentu di dalam mengurustadbir sungai Selangor. Tujuan penulis berkongsi pengalaman dan mengimbau nostalgia lama ini adalah semata-mata untuk membangkitkan rasa kecintaan kepada sungai yang merupakan nadi kehidupan kita. Sungai yang telah banyak berjasa kepada kehidupan kita perlulah dipulihara dan dibela nasibnya. Takkan tergamak kita menabur racun kepada sungai yang telah banyak menabur bakti kepada kita selama ini.



Fikirkanlah! Janganlah kerana kepentingan peribadi dan faedah individu, semangat dan keramat sungai Selangor dipersia-siakan begitu saja.Apa yang diperlukan sekarang ini ialah bagi merangka pelan pemulihan sungai Selangor yang komprehensif bagi mengembalikan fungsi dan kebersihan sungai ini. Kita tidak mahu pelan yang digubal bersifat adhoc semata-mata dengan melakukan kerja-kerja mendalam ataupun melebarkan sungai yang sering dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan tebatan banjir.



Pelan pembersihan sungai Selangor ini mestilah berobjektifkan untuk mengekalkan kualiti airnya pada tahap kelas 2 yang sesuai dengan keupayaan rawatan bekalan air minuman secara konvensional. Punca-punca pencemaran yang terdapat di kawasan lembangan sungai Selangor perlulah dipindahkan ke lain tempat terutama sekali bagi yang tiada mempunyai sistem rawatan sisa buangan.



Pembinaan infrastruktur seperti sistem rawatan sisa industri secara berpusat, sistem rawatan kumbahan berpusat dan sebagainya akan dapat menyekat kemasukan sisa buangan yang tidak dirawat dari memasuki sungai Selangor secara terus.Disamping itu juga penambahbaikan terhadap struktur tebing dan reserve sungai perlu juga diambilkira. Program mencantikkan kawasan ini perlu juga dilaksanakan.



Bagi menjayakan program pemulihan sungai Selangor ini, sejumlah dana diperlukan dan sudah sewajarnyalah syarikat pembekal air seperti SPLASH dan SYABAS turut terlibat sebagai penyumbang utama. Syarikat ASMA yang mendapat manfaat dari penswastaan pengawasan kualiti air sungai Selangor juga boleh menyumbang secara amal jariah demi kesejahteraan umat. Pihak pemaju perumahan seperti Land and General (Lembah Beringin), EMKAY LAND (Bukit Beruntung) dan lain-lainnya mungkin juga boleh turut terlibat menjayakan usaha murni dan bersepadu ini.



Tambahan pula ini adalah sejajar dengan saranan Pak Lah yang pernah mengutarakan usul untuk melihat syarikat ataupun badan korporat terlibat aktif dalam inisiatif pembersihan sungai.Penulis percaya ramai di kalangan kita yang mempunyai kenangan tersendiri mengenai kehidupan sungai di tempat masing-masing. Pengkisahan sungai akan dapat menerapkan kesedaran dan rasa cinta yang mendalam terhadap sumber asli anugerah Allah ini. Generasi muda sekarang ini akan dapat berkongsi pengalaman dan mencartakan tindakan mereka bagi meneruskan perjuangan membela nasib sebuah sungai......



Ismail Farihin
Bukit Beruntung

Membudayakan elemen urustadbir dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber air


THURSDAY, MAY 29, 2008

Wednesday, March 15, 2006


Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerimapakai resolusi A/RES/47/193 bertarikh 22 Disember 1992 bagi menetapkan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Air Sedunia.Bermula semenjak tahun 1993,pelaksanaan sambutannya menepati saranan serta cadangan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pembangunan dan Alam Sekitar (UNCED) yang terkandung di dalam Bab 18 (Sumber Air Daratan) Agenda 21.



Setiap negara dijemput untuk memperingati hari tersebut bersesuaian dengan konteks masing-masing, untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seperti mempromosikan kesedaran awam melalui penerbitan dan penyebaran dokumentari, penganjuran persidangan, perbincangan meja bulat, seminar dan pameran yang berkaitan dengan pembangunan dan pemuliharaan sumber air serta pelaksanaan cadangan Agenda 21.



Tema Hari Air Sedunia 2006 ialah "Air dan Budaya/Water and Culture". Menginsafi sumber air daratan seperti sungai, tasik, telaga dan sebagainya penting bagi nadi kehidupan kita, sudah sewajarnyalah Hari Air Sedunia kali ini disambut dengan penuh iltizam dan kesungguhan yang jitu bagi muhasabah diri dalam cara kita menguruskan sumber air selama ini.



Mengimbas kembali kejadian pencemaran sumber air sungai di negara kita yang kini kian semakin mencapai tahap kritikal, sudah sewajarnyalah semua pihak menilai semula budaya urustadbir yang diamalkan berhubungkait dengan pengurusan sumber air ini. Pengurusan yang bercorak reaktif, menuding jari, budaya pengurusan dalam zon selesa, jahil dalam menangani krisis air, lebih cakap dari bertindak, mencari kambing hitam dan sebagainya adalah sinonim dengan sindrom NIMBY-RIEBY (Not in my backyard-river is everybody backyard).



Hari Air Sedunia disambut sehari selepas sambutan Hari Perhutanan Sedunia yang jatuh pada 21 Mac setiap tahun. Kebiasaannya pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan penanaman pokok, perlindungan kawasan tadahan air, perluasan kawasan hijau menjadi sebahagian dari agenda sambutan Hari Perhutanan sedunia.



Kepentingan hutan sebagai kawasan tadahan air, kepelbagaian biologi, fauna dan floranya, kajian saintifik mengenai spesis perubatan, pengimbang cuaca mikro, tabung pengeluaran oksigen dan sebagainya amat bernilai sekali. Sudah sewajarnyalah kepentingan 2 hari tersebut disambut oleh kita dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat.



Urustadbir sumber air perlulah dilaksanakan dengan menggalakkan budaya ketelusan, pertanggungjawaban, integriti, keterbukaan, keterlibatan, akauntabiliti,keberkesanan dan kesatuan di kalangan pelbagai pihak yang terlibat. Ini bermaksud setiap peraturan, perundangan, proses, tatacara dan kuasa bagi mentadbir polisi berkaitan sumber air dilaksanakan dengan memenuhi aspek budaya urustadbir yang mantap.



Pematuhan terhadap perundangan kawalan pencemaran bagi memastikan sumber air mentah bersih dan tidak tercemar, perlindungan kawasan tadahan air dari pencerobohan, bekalan air minuman yang bersih dan selamat serta mematuhi spesifikasi kesihatan yang telah ditetapkan, kepentingan pengguna yang diasaskan kepada indeks kepuasan pengguna bagi mendapatkan mutu bekalan air minuman yang bersih dan selamat dan sebagainya perlulah menjadi asas pengurusan dan dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.



Penanda aras kecapaian perlaksanaan program penguatkuasaan, kawasan tadahan air yang dilindungi, spesifikasi mutu bekalan air dan lain-lain lagi akan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat jelata.Peranan yang dimainkan oleh pihak media di negara kita bila berdepan dengan krisis pengurusan sumber air amat menggalakkan dan sewajarnya dipertingkatkan dari semasa ke semasa.



Melalui pendedahan demi pendedahan mengenai isu berkaitan sumber air seperti pencemaran sungai, pencerobohan kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air, sama ada dilakukan secara 'investigative reporting' ataupun pelaporan biasa, kesedaran serta keprihatinan masyarakat di negara kita ini mengenai kepentingan sumber air akan dapat diperkasakan.



Usaha media selama ini hendaklah dilihat secara positif dan bukannya dianggap mempunyai agenda tersembunyi bertujuan untuk mendedahkan kelemahan dan kepincangan sistem politik dan pengurusan sedia ada.Keterlibatan masyarakat dalam memberikan pandangan dan hak bersuara mereka mengenai isu urustadbir sumber air akan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.



Kepuasan rakyat sebagai pengguna sumber air yang utama menjadi kayu ukur bagi kejayaan sesuatu program dan penerimaan mereka terhadap polisi yang dilaksanakan secara telus dan berintegriti dapat menghakis segala tentangan terhadap perlaksanaan sesuatu program tersebut. Situasi 'menang-menang' akan sentiasa dapat diwujudkan tanpa mengorbankan kepentingan satu pihak dengan pihak yang lain.



Perundangan yang telah lapuk, bertindih serta tidak relevan lagi pada masa kini perlulah dipinda secepat mungkin. Tidak ada gunanya kita mempunyai puluhan perundangan yang berkaitan dengan sumber air tetapi gagal dalam melaksanakan peruntukan perundangan yang termaktub.



Penguatkuasaan yang lesu serta lemah dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan mencerminkan amalan budaya negatif seperti rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan buta perundangan. Penguatkuasaan yang tegas, konsisten, kredible, adil, saksama dan telus perlulah dilaksanakan bagi memulihara sumber air negara dari terus dicemari. Penanda aras pencapaian penguatkuasaan perlu juga diperkenalkan.



Budaya permuafakatan dalam menyelesaikan masalah di kalangan agensi dan Jabatan Kerajaan yang bertanggungjawab dalam mentadbir sumber air perlulah diperkasakan. Prosedur kerja, proses perlesenan, penguatkuasaan bersepadu, perancangan holistik melibatkan semua 'stakeholders' perlulah dikemaskini bagi memantapkan kawalselia pengurusan sumber air. Fungsi dan peranan agensi dan Jabatan Kerajaan yang bertindih perlulah diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan dan mewujudkan penyelarasan yang berterusan.



Memetik kata-kata dari seorang kawan...."Sungai jernih dan bersih adalah cermin kejernihan tamadun manusia.Sungai kotor dan tercemar petunjuk kejahilan peradaban dan budaya manusia..Sungai nadi kehidupan, memerlukan satu pembelaan".



Ismail Farihin
Bukit Beruntung

Nasib tanah tinggi Cameron Highlands


THURSDAY, MAY 29, 2008

20 Feb 2006


Buletin Utama TV3 pada 17 Februari lalu telah menyiarkan laporan mengenai sikap penyangak alam sekitar yang merosakkan persekitaran tanah tinggi di Cameron Highlands. Terdapat dua lokasi yang telah digondolkan oleh penyangak-penyangak ini iaitu berdekatan dengan Kg. Pos Terisu dan Sg. Palas yang berdekatan dengan Ladang Teh Boh.



Akibat kerakusan mereka yang terlibat serta ketiadaan pemantauan dari pihak berkuasa yang berkaitan, kegiatan penyangak-penyangak ini berjalan tanpa dapat dikesan. Mujurlah masih ada segelintir rakyat yang prihatin membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan media.
Jika tidak, mungkin kegiatan ini berlarutan dan kerosakan alam sekitar yang terjana mungkin lebih dahsyat lagi, bukan setakat hakisan tanah malahan kesan penggondolan ini boleh mengakibatkan tanah runtuh dan mengancam nyawa penduduk setempat.



Ironinya, kegiatan penggondolan tanah tinggi ini berlaku sejak bulan Oktober 2005 lagi. Dan pada ketika itu juga pemantauan dari udara menggunakan helikopter telah diberhentikan atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Adakah ini secara kebetulan ataupun sememangnya mengikut perancangan pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dan berkomplot untuk memastikan kegiatan penggondolan bukit dilakukan tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa.
Kegiatan jenayah alam sekitar ini didalangi oleh pihak-pihak tertentu secara terancang dan menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli untuk meneroka tanah milik kerajaan tersebut. Modus operandi sindiket ini bertujuan untuk berselindung menggunakan imuniti masyarakat Orang Asli, sementelahan tanah milik kerajaan tersebut terletak dalam kawasan pengumpulan semula Orang Asli di Kg. Pos Terisu.



Pembangunan tanah tinggi di Cameron Highlands bukanlah satu isu baru malahan Kabinet telah mengarahkan pemantauan yang berterusan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kerosakan yang berlaku tidak berpanjangan. Penubuhan Jawatankuasa Kabinet dan Pasukan Petugas Pembangunan Tanah Tinggi telah dibentuk untuk menggubal polisi, prosedur pembangunan dan melakukan pemantauan berkala.



Apa pun alasan diberikan, kecuaian pihak yang diamanahkan untuk memantau arahan Kabinet dan melaksanakannya secara sambil lewa perlu dihukum. Kekecewaan rakyat melihat arahan Kabinet diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu amat mendukacitakan.
Jabatan-jabatan teknikal yang terlibat dalam memantau pembangunan di Cameron Highlands ketika ini boleh diibaratkan seperti kucing tidak bergigi, menyebabkan tikus berani menari-nari dan melompat tinggi.



Walaupun garis panduan pembangunan tanah tinggi telah disediakan, namun pelaksanaan pemantauan di lapangan amat sukar untuk dilaksanakan. Penerokaan tanah yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah masih terus berlaku.



Contohnya terdapat beberapa kawasan tanaman sayur yang mempunyai batas-batas tanaman terletak hingga mencecah puncak bukit yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah. Perlanggaran ke atas syarat pembangunan cuma dikenakan kompaun yang agak minimum oleh Pejabat Tanah dan Daerah sekitar lingkungan RM500 sahaja.



Apabila kompaun telah dilunaskan oleh mereka, kegiatan penggondolan cerun bukit masih boleh diteruskan tanpa sebarang arahan berhenti kerja. Sedangkan peraturan dan perundangan pihak berkuat kuasa pun boleh dilanggar, apatah lagi garis panduan yang tidak mempunyai sebarang sokongan perundangan.



Sudah tiba masanya keberkesanan Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Tanah Tinggi dikaji semula. Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan fungsi jawatankuasa yang terlibat perlulah dimantapkan. Pihak yang cuai melaksanakan tanggungjawab perlu menerima hukuman yang setimpal.



Tidak mustahil malapetaka tanah runtuh di Pulau Leyte, tenggara Filipina yang mengorbankan lebih 2,000 nyawa penduduk kampung mungkin boleh berlaku di Cameron Highlands jika pihak berkuasa hanya membiarkan pencerobohan tanah tinggi di sana berlaku tanpa pemantauan yang ketat.



ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung,
Selangor

Ahli sains cipta senjata juga bersalah...



Feb 13, 07 3:45pm


Saya kagum dengan keberanian Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) dalam menyuarakan pandangan mengenai usaha-usaha ke arah 'menjenayahkan perang' melalui penubuhan suruhanjaya serta tribunal untuk mendengar representasi mangsa serta bentuk hukuman ke atas penjenayah perang melalui perbicaraan tribunal ini nanti.



Sememangnya, pandangan serta visi TDM yang melangkau jauh ke depan itu, mendapat pujian dan sokongan pelbagai pihak yang menentang keganasan peperangan serta mereka yang bersimpati dengan mangsa perang yang tidak mendapat ruang pembelaaan, baik melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ataupun perundangan antarabangsa.



Saya ingin mencadangkan agar fungsi suruhanjaya serta tribunal ini diperluaskan meliputi keganasan peperangan, bukan sahaja di Iraq, Palestin dan Lebanon, malahan ke seluruh dunia. Melalui cara ini, kekuatan 'networking' serta sokongan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia akan dapat diraih secara mampan. Keanggotaan suruhanjaya dan tribunal ini juga perlu terdiri daripada tokoh-tokoh antarabangsa yang komited serta berjuang dalam menegakkan keamanan dunia serta memerangi keganasan perang.



Dengan cara ini, kredibiliti suruhanjaya serta tribunal tersebut, akan mendapat perhatian PBB dan badan serta agensi di bawah PBB sendiri. Kekuatan suruhanjaya serta tribunal ini akan digeruni oleh ketua-ketua negara yang bercita-cita untuk memulakan peperangan. Malahan, bagi syarikat pengeluar senjata berbahaya peperangan serta ahli-ahli sains yang mencipta senjata ini, kes mereka juga perlu dibawa kepada suruhanjaya dan tribunal ini.



Sesungguhnya, masih banyak jalan berliku yang perlu dilalui bagi merealisasikan harapan TDM ini. ‘Agenda Keamanan’ yang telah diusahakan ini juga perlu diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan. Sekiranya kita melabelkan ekonomi Amerika Syarikat sebagai ‘war economy’ (ekonomi perang), maka model ‘peace economy’ (ekonomi perdamaian) yang diamalkan oleh beberapa negara, juga perlulah dipromosikan sebagai alternatif kepada model ekonomi ‘ala koboi’ yang diamalkan oleh Amerika dan sekutunya.



Kerjasama dengan badan serta agensi antarabangsa di bawah PBB yang terlibat dalam agenda kedamaian dan kemanusiaan, perlulah dimantapkan. Jika UNDP dan Bank Dunia, contohnya, boleh diwujudkan bagi menyokong usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar sejagat, maka kenapakah tiada badan ataupun agensi khas dibentuk di bawah PBB untuk menggalakkan usaha pemuliharaan keamanan sejagat?



Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) perlulah dimantapkan dengan pembiayaan serta pengisian kakitangan yang komited dengan agenda keamanan. Perancangan kerja, penubuhan sekretariat tetap serta 'rangkaian' mantap di seluruh dunia, perlulah digerakkan segera.



Penubuhan 'kumpulan pemikir' bagi merancang, memikir serta melaksanakan agenda keamanan ini, perlu diwujudkan segera untuk membantu TDM merealisasikan visi keamanan sejagat ini. Mungkin dalam persidangan yang akan datang, gabungan PGPO dengan NGO antarabangsa di seluruh dunia akan dapat mencartakan agenda keamanan sejagat ini. Melalui strategi penggunaan senjata ‘pendapat awam’ (public opinions) yang dianggap sebagai senjata 'berkuasa besar’ kedua selepas senjata ketenteraan, gabungan bersepadu, terancang dan terarah ini, dapat digemblengkan bagi memaksa reformasi PBB sendiri.



Semoga TDM diberi Allah kesihatan dan pemikiran bernas serta tajam untuk terus mengemudi agenda keamanan ini. Barisan pemimpin pelapis perlulah dipersiapkan bagi menghayati konsep pemikiran TDM. Agak malang sekiranya usaha murni ini hanya berjaya atas sandaran kepada kekuatan TDM semata-mata, tanpa penghayatan sepenuhnya oleh barisan pelapis. Saya berdoa semoga TDM akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel di atas usaha gigih serta sumbangan besar beliau bagi mewujudkan keamanan sejagat.



Ismail Farihin

Polisi kawal alam sekitar tidak selaras



Banyak kajian dan penyelidikan telah dijalankan terhadap pencemaran udara di Lembah Klang. Kajian oleh Prof. Datuk Dr. Sham Shani, bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia begitu banyak berkisar kepada permasalahan ini merangkumi aspek punca-punca pencemaran, modelling, serakan dan taburan, faktor klimatologi dan meteorologi, beban pencemaran dan sebagainya.


Agak menghairankan juga segala penemuan hasil kajian dan penemuan saintifik ini gagal diterjemahkan kepada sebarang bentuk polisi kawalan bagi mengawal masalah pencemaran di sekitar Lembah Klang.



Bagaikan ada jarak pemisah di antara saintis dan pentadbir. Seolah-olah tiada kesinambungan dalam meneruskan serta merealisasikan penemuan kajian ini kepada pembentukan polisi pengurusan alam sekitar kawasan Lembah Klang. Lain yang dikaji lain pula yang dilaksanakan.
Mungkin kedua-dua pihak, saintis dan pentadbir tidak pernah berbincang dalam perkara ini. Akhirnya setiap polisi pembangunan yang melibatkan kawasan Lembah Klang seperti caca- marba dan lihatlah apa yang terjadi kepada persekitarannya waktu ini.



Mengenai krisis bencana jerebu yang melanda Lembah Klang baru-baru ini, saya berasa hairan terhadap koordinasi dan penyelarasan bagi menangani permasalahan ini. Terlalu banyak persoalan yang berlegar kepada kuasa sebenar siapa yang berhak dalam mengetuai krisis bencana alam ini.



Contoh yang jelas ialah apabila Kabinet menyerahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk isytihar darurat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500, tetapi guru besar membuat keputusan penutupan sekolah dan lain-lain lagi. Kelihatan sebagai tiada kesepakatan dan koordinasi bila berdepan dengan situasi krisis seperti ini.



Kekeliruan



Di mana peranan Jawatankuasa Bencana Jerebu Peringkat Kebangsaan yang sepatutnya menasihatkan Kabinet atas setiap perkara berkaitan keputusan yang akan dibuat tanpa menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada rakyat.



Perkara yang sama juga berlaku apabila semua sekolah di sekitar Kuala Lumpur diarahkan tutup selama dua hari sedangkan sekolah-sekolah berdekatan yang terletak dalam Selangor dibenarkan meneruskan sesi persekolahan.



Agak janggal dan pelik apabila kita fikirkan keputusan yang telah dibuat. Sekiranya kita merujuk kembali kepada segala maklumat kaji cuaca, modelling, kualiti udara semasa, topografi, terrain, halaju dan arah tiupan angin _ sudah tentu ramalan yang lebih baik dapat dibuat bagi membantu membuat keputusan apabila berdepan dengan krisis seperti ini.



Sekitar Lembah Klang akan mengalami kesan pencemaran jerebu yang hampir sama dalam keadaan cuaca sekarang ini. Keadaan hanya akan bertambah baik apabila ada hujan yang lebat ataupun angin kencang yang menyerakkan bahan jerebu tersebut ke tempat lain.



Persiapan bagi menghadapi senario kes paling teruk jerebu ini sepatutnya telah digerakkan sebelum musim kering melanda negara kita. Jangkaan bagi perkara-perkara yang kita sudah sedia maklum sepatutnya telah diperkemaskan lebih awal lagi. Ini termasuklah mengadakan latihan bencana krisis, pertingkatkan penguatkuasaan, kempen kesedaran, hebahan maklumat, sistem amaran awal, sistem sokongan pemantauan dan pengawasan kualiti udara dan lain-lain lagi.



Begitu juga dengan kerjasama yang perlu diraih daripada kerajaan Indonesia setiap tahun! Agak memalukan juga apabila mengetahui sebanyak 10 syarikat perladangan Malaysia bertanggungjawab di atas kebakaran yang berlaku di Sumatera yang menyebabkan masalah jerebu melanda negara kita ini.



Hukuman 



Tambahan pula sewaktu negara di ambang menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, perbuatan keji mereka yang tidak bertanggungjawab ini dilihat sebagai petualang bangsa dan tidak punya semangat patriotik langsung! Hukuman yang setimpal harus dikenakan kepada mereka yang dianggap sebagai petualang bangsa dan negara ini. Maruah negara serta seluruh rakyat Malaysia telah dijatuhkan!



Semoga krisis jerebu pada kali ini akan mengajar kita erti kemanusiaan dan hubung kaitnya dengan Pencipta, manusia dan alam sekitar. Krisis ini akan menyedarkan kita betapa kuasa yang disalahgunakan dengan menzalimi diri sendiri, manusia lain dan alam sekitar hanya mengundang kemurkaan Allah dan akan memberi kemudaratan yang berpanjangan terhadap kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini.



Jerebu sebenarnya sesuatu pengajaran yang terbaik mengenai integriti, akauntabiliti, transparensi, amanah, tanggungjawab dan sebagainya



Ismail Farihin

Apa kesudahan kes alam sekitar


NEGARA telah dikejutkan dengan berita sensasi alam sekitar mengenai isu penebangan hutan di Bukit Cahaya Seri Alam.


Berita ini semakin mendapat perhatian kerana Perdana Menteri sendiri membangkitkan serta mempersoalkan kredibiliti dan integriti pihak-pihak terlibat dalam memantau pelaksanaan projek tersebut.



Berita ini agak lama juga panas di pasaran, maklumlah Perdana Menteri sendiri membangkitkan isu tersebut.



Namun lama-kelamaan berita ini senyap dan hilang dari persada pemberitaan sedangkan masih banyak persoalan yang berkaitan dengan projek tersebut gagal dihurai dan dikupas dari perspektif perlindungan alam sekitar, akauntabiliti, integriti dan transparensi.



Rakyat masih tertanya-tanya bagaimanakah tanah tersebut dipindah milik kepada syarikat-syarikat tertentu, siapa mereka sehinggakan tanah yang mempunyai aset dan nilai alam sekitar yang berharga ini boleh dipindah milik kepada segelintir individu tertentu sahaja.



Begitu juga dengan kegagalan agensi penguat kuasa yang gagal memantau pelaksanaan projek ini dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa diheret ke muka pengadilan kerana bersekongkol dan terlibat dalam konspirasi pencabulan alam sekitar Bukit Cahaya Seri Alam.



Apa yang jelas di sini ialah isu alam sekitar tidak mempunyai nilai berita yang bertahan lama dan ia kelihatan bermusim serta mempunyai kaitan dengan agenda pihak-pihak tertentu.



Liputan isu yang dibuat tidak mencakupi skop yang meluas dan lebih tertumpu kepada serangan personaliti antara kumpulan yang mendapat projek dengan yang tidak.



Tidak keterlaluan jika dikatakan isu tersebut lebih merupakan agenda politik bagi pihak-pihak tertentu.



Apa yang menyedihkan penerokaan hutan tersebut telah berlaku dengan kemusnahan yang teruk.



Negara juga telah dikejutkan dengan berita-berita sensasi alam sekitar seperti pengimportan haram sisa toksik dan Taiwan: Kematian seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Sarawak Rumie Azzan Malie; kebakaran bilik fail Jabatan Alam Sekitar Johor yang dikaitkan dengan kemusnahan bahan bukti kes berprofil tinggi yang juga didakwa terlibat dalam kes lambakan sisa toksik dari Taiwan secara haram ke negara kita; kehilangan sebuah treler yang merupakan ekshibit bagi kes pendakwaan Jabatan Alam Sekitar Perak, kes-kes aduan pencemaran seluruh negara dan insiden terbaru keracunan ammonia di Selayang, Selangor.



Rakyat tertanya-tanya apakah kesudahan insiden yang dilapor oleh pihak media selama ini.
Sudahkah syarikat dan mereka yang terlibat dalam sindiket penipuan membawa masuk sisa toksik dari Taiwan ini didakwa?



Apakah yang telah terjadi ke atas simpanan longgokan sisa toksik beribu-ribu tan di kilang dan pelabuhan Pasir Gudang? Sudahkah sisa toksik tersebut dihantar kembali ke negara asalnya Taiwan?



Bilakah inkues bagi kes kematian Rumie akan bermula? Kenapa masih dilewat-lewatkan?Sudahkah siasatan polis mengenai kes kebakaran bilik fail tersebut mengenal pasti dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat?



Apakah hukuman Arahan Pentadbiran yang telah dijatuhkan kepada pentadbiran Jabatan Alam Sekitar yang gagal memantau dan mengawasi keselamatan dokumen Rahsia Rasmi Kerajaan?



Apakah kesudahan kes treler kerana hanya kuasa mahkamah sahaja yang menentukan sama ada treler tersebut boleh dilepaskan ataupun tidak dan bukannya kuasa budi bicara Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dalam menentukan treler tersebut boleh dilepaskan memandangkan kes siasatan masih berjalan ke atas premis yang disiasat!



Rakyat ternanti-nanti kesudahan berita sensasi alam sekitar yang telah dipaparkan selama ini. Contoh-contoh di atas perlu diperjelaskan.



Kita tidak mahu alam sekitar terus dilacurkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dengan motif dan agenda tersendiri dalam mengaut keuntungan ekonomi dari mengabaikan tanggungjawab sosial.



Semoga dengan era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang telah menzahirkan dimensi, perspektif dari hala tuju baru dalam mengurus tadbir alam sekitar negara, perkara-perkara yang dibangkitkan ini akan mendapat perhatian penyelesaian segera yang sewajarnya tanpa melindungi pihak-pihak yang cuai dan menyalahgunakan kuasa.



ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung
Selangor

Inkues Rumi: Perjuangan menuntut pembelaan


MAHKAMAH koroner yang mendengar perbicaraan inkues tentang kematian pegawai Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Rumi telah pun membuat keputusan bahawa ‘mahkamah tidak dapat menentukan bagaimanakah keadaan sebenar Rumi menemui maut, sama ada terjun membunuh diri seperti dakwaan pelbagai pihak pada awalnya atau ada unsur-unsur jenayah yang berkaitan. Mahkamah juga telah meletakkan ‘kesalahan’ besar ke atas cara kes ini disiasat yang banyak menimbulkan keraguan dan tanda tanya.



Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) agar siasatan semula yang lebih terperinci diteruskan memang sangat dialu-alukan. Ini akan dapat memulihkan imej serta kredibiliti pasukan polis.
Adalah diharapkan satu pasukan yang lebih cekap dan komited ditubuhkan dengan segera bagi meneruskan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kematian Rumi. Sekiranya ada terlibat unsur-unsur konspirasi serta jenayah terancang, mereka yang terlibat hendaklah segera dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan.



Pihak polis telah menunjukkan beberapa kejayaan dalam menyelesaikan kes-kes pembunuhan terancang dan misteri yang lebih rumit dan lebih kompleks daripada kes Rumi ini. Oleh kerana itu kenyataan KPN untuk membuka semula kes ini amatlah wajar.



Maklumat baru daripada saksi-saksi yang mengetahui fakta kes perlulah diperoleh dengan secepat mungkin. Elemen menyembunyikan fakta serta membohongi keterangan sewaktu inkues perlulah diambil tindakan sewajarnya sekiranya ada. Faktor penyebab yang menyebabkan saksi membisu atau pun tidak mahu memberi keterangan dengan terbuka perlulah disiasat.



Orang ramai juga tertanya-tanya serta ingin tahu apakah hasil penemuan siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas 68 buah fail yang telah diambil dari Jabatan Alam Sekitar Sarawak berhubung dengan kes ini. Kenapakah siasatan mengambil masa yang begitu lama?



Sesungguhnya keputusan inkues Rumi mempunyai satu rahmat yang tersembunyi. Keputusan inkues tersebut telah menidakkan faktor membunuh diri sebagai punca kematian beliau. Persoalannya ialah siapakah dalang yang sebenarnya yang telah mengabui mata semua pihak sejak dari awal lagi yang Rumi terjun membunuh diri seperti yang disiarkan dalam akhbar?



Bagaimana mungkin pihak polis melaporkannya kerana laporan autopsi masih belum lagi siap sepenuhnya pada ketika itu. Adalah perlu disiasat semula siapakah dalang yang telah melaporkan melihat Rumi terjun membunuh diri. Inilah kunci bagi menyelesaikan misteri kematian Rumi sebenarnya.



ISMAIL FARIHIN
Hulu Selangor.

Galakkan industri kitar semula sisa


AGAK menghairankan kegiatan haram kitar semula sisa industri masih berlaku sedangkan prosedur pelesenan telah wujud sekian lama.


Kenapakah pengusaha-pengusaha kitar semula ini memilih jalan yang salah sedangkan mereka boleh menjalankan kegiatan ini secara berlesen dan sah di sisi undang-undang. Perlulah dikaji apakah faktor penyebab yang menggalakkan mereka melakukan kitar semula tanpa lesen.



Adakah kerana pengusaha-pengusaha ini gagal mendapatkan lesen meskipun telah membuat permohonan berkali-kali kepada pihak berkuasa yang berkaitan? Atau adakah prosedur pelesenan begitu ketat dan sukar untuk mendapat kelulusan? Ataupun pihak yang mengeluarkan lesen mempunyai kriteria mereka sendiri yang tidak diketahui oleh orang awam.
Sudah sampai masanya prosedur pelesenan dipermudahkan bagi membolehkan kegiatan haram ini disahkan status halalnya.



Perlu diingat industri kitar semula sisa industri ini menjana pendapatan yang lumayan dan memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan. Apa yang diperlukan ialah galakan pelaburan dan pemantauan berterusan terhadap pematuhan perundangan melalui syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.Industri yang berlesen dan terkawal akan dapat menambahkan perolehan kerajaan atas cukai pendapatan dan perniagaan yang telah dijalankan.



Sekiranya perkara ini gagal ditangani secara bijaksana,kerajaan akan berterusan mengalami kebocoran ekonomi di mana kegiatan haram ini tidak menyumbang sebarang pendapatan kepada kerajaan malahan merosakkan alam sekitar dan memudaratkan kesihatan rakyat.Malahan apa yang paling merugikan ialah produk sampingan yang dihasilkan di eksport ke luar negara untuk tujuan kehalusan mutu serta penghasilan produk akhir yang berharga tinggi.



Alangkah baiknya sekiranya kerajaan memikirkan untuk menyediakan prasarana industri kitar semula ini agar penghasilan produk sampingan dan akhir dapat dibuat di negara kita sendiri.
Ini secara tidak langsung dapat membendung ketidakseimbangan di dalam perdagangan antarabangsa serta menghalang pengaliran keluar wang negara dalam industri yang berkaitan dengan logam, pembuatan,pembinaan dan sebagainya.



Adalah diharapkan persaingan yang kompetitif, galakan pelaburan dan sokongan pelesenan dan penguatkuasaan yang telus akan dapat meningkatkan status kitar semula sisa industri di negara kita ini mencapai tahap piawai dunia.



Kekangan prosedur pelesenan, kerenah birokrasi yang disengajakan untuk kepentingan pihak tertentu, pilih kasih dalam pemberian lesen, unsur- unsur korupsi dan sebagainya haruslah dihapuskan bagi merealisasikan impian ini.



Ismail Farihin

Singkir penguat kuasa gagal laksana tugas


SEJAK beberapa bulan yang lalu, kita telah melihat pelbagai episod menarik mengenai kes-kes pencemaran alam sekitar.



Maka kegigihan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turun padang sewajarnya diberi pujian.
Kepimpinan melalui teladan yang beliau tunjukkan sewajarnya dijadikan ikutan oleh semua pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).



Dalam masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri selaku pengerusi jawatankuasa Kabinet berkaitan alam sekitar juga telah menegaskan pentingnya pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak menyebabkan masalah pencemaran alam yang berterusan.
Bagaimanapun matlamat kerajaan akan terbantut oleh sikap buruk segelintir penjawat awam yang suka melengah-lengahkan kerja, lari daripada tanggungjawab, menindas kakitangan bawahan, menyorok maklumat dalaman mengenai skandal atau pun kejadian buruk dalam jabatan dengan tujuan kononnya untuk menjaga imej jabatan dan kepentingan individu tertentu dan sebagainya.



Sebagai agensi penguat kuasa mengawal masalah pencemaran alam sekitar, tugas dan amanah yang berat ini sewajarnya dilaksanakan dengan berhemah, adil dan saksama.
Penguatkuasaan sewajarnya dilakukan secara konsisten, bukan secara bermusim atau secara ‘memadamkan kebakaran.’



Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pimpinan organisasi di dalam mengemudi bidang tugas penguatkuasaan dan mencari keseimbangan agar kerja-kerja penguatkuasaan tidak dilihat sebagai menyekat arus kerancakan pembangunan yang sedang berjalan.



Tiada gunanya undang-undang dipinda bagi memperuntukkan hukuman penjara mandatori jika pelaksanaan penguatkuasaan mengikut selera dan acuan elemen rasuah.



Siasatan kes pencemaran tidak boleh dilakukan secara selektif. Misalnya menekan pihak tertentu dengan ancaman tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, tetapi membiarkan pihak lain yang mencemar bebas berleluasa melakukan aktiviti pelupusan haram buangan toksik meskipun maklumat-maklumat yang sahih telah disampaikan kepada pihak pengurusan organisasi.



Konspirasi menjatuhkan perniagaan pihak tertentu, berkomplot dengan pencemar serta melemahkan kes siasatan dan pendakwaan perlulah ditangani dengan segera.



Kemungkinan kakitangan penguat kuasa dan pelesenan bersekongkol dengan sindiket-sindiket tertentu perlulah disiasat hingga ke akar umbi.



Pengangkutan sisa toksik keluar masuk ke negara ini juga perlulah dikawalselia dengan rapi.
Pematuhan kepada perundangan antarabangsa seperti Basel Convention perlulah dikuatkuasakan secara tegas.



Tidak guna mengeluarkan lesen yang begitu banyak kepada pihak industri tempatan untuk menjalankan perniagaan pemerolehan kembali jika buangan industri yang terjana di dalam negara ini begitu mudah dibawa keluar ke negara lain melalui sempadan atau pintu masuk.



Penyeludupan masuk sisa toksik secara berleluasa ke negara ini perlulah dilihat dari aspek ancaman terhadap keselamatan negara, bukan hanya setakat isu pencemaran semata-mata.
Kedaulatan negara kita perlu dilindungi dari ancaman bahaya sisa toksik yang begitu mudah dibawa masuk jika tiada kawalan dan pemantauan rapi pihak berkuasa.



Sekiranya gejala penyelewengan ini tidak diatasi dengan kadar segera, ia akan menakutkan pelabur-pelabur untuk melabur di negara kita ini dan seterusnya memberi impak negatif terhadap pembangunan ekonomi negara.



Oleh itu, singkirkanlah kakitangan penguatkuasaan yang gagal melaksanakan tugasan mereka, juga pimpinan organisasi lemah yang membiarkan gejala ini berleluasa.



ISMAIL FARIHIN
BUKIT BERUNTUNG,
SELANGOR.

`Jas oh jas'



BULETIN Utama TV3 pada 4 Mac 2006, telah menyiarkan pandangan beberapa pihak mengenai punca sebenar kejadian pencemaran air mentah yang telah menyebabkan penduduk Lembah Klang menerima bekalan air berbau najis pada 26 Februari 2006 yang lalu.


Sindrom menuding jari dan melepaskan diri semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita apabila berdepan dengan krisis alam sekitar.



Saya telah mendapat ilham untuk mencipta sebuah lirik lagu yang diadaptasikan dari lagu asalnya bertajuk Bangau oh Bangau.



Beginilah hasilnya:



Ammonia oh Ammonia
macam mana kau terbebas
macam mana aku terbebas
itu kena tanya Syabas
Syabas oh Syabas
apa yang kau nak jelas
aku tak perlu jelas
ini semua kerja JAS
Oh JAS oh JAS
apa jawapan balas
punca ammonia terbebas
angkara Bukit Tagar yang kasi lepas
Oh Bukit Tagar oh Bukit Tagar
kenapa kau kasi lepas
bukan aku yang kasi lepas
tapi hujan lebat bertindak balas
Oh hujan oh hujan
kenapa kau bertindak balas
aku bertindak balas
nak ajar perosak alam yang
semakin ganas



Ismail Farihin
Bukit Beruntung,
Hulu Selangor.