MAHKAMAH koroner yang mendengar perbicaraan inkues tentang kematian pegawai Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Rumi telah pun membuat keputusan bahawa ‘mahkamah tidak dapat menentukan bagaimanakah keadaan sebenar Rumi menemui maut, sama ada terjun membunuh diri seperti dakwaan pelbagai pihak pada awalnya atau ada unsur-unsur jenayah yang berkaitan. Mahkamah juga telah meletakkan ‘kesalahan’ besar ke atas cara kes ini disiasat yang banyak menimbulkan keraguan dan tanda tanya.
Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) agar siasatan semula yang lebih terperinci diteruskan memang sangat dialu-alukan. Ini akan dapat memulihkan imej serta kredibiliti pasukan polis.
Adalah diharapkan satu pasukan yang lebih cekap dan komited ditubuhkan dengan segera bagi meneruskan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kematian Rumi. Sekiranya ada terlibat unsur-unsur konspirasi serta jenayah terancang, mereka yang terlibat hendaklah segera dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan.
Pihak polis telah menunjukkan beberapa kejayaan dalam menyelesaikan kes-kes pembunuhan terancang dan misteri yang lebih rumit dan lebih kompleks daripada kes Rumi ini. Oleh kerana itu kenyataan KPN untuk membuka semula kes ini amatlah wajar.
Maklumat baru daripada saksi-saksi yang mengetahui fakta kes perlulah diperoleh dengan secepat mungkin. Elemen menyembunyikan fakta serta membohongi keterangan sewaktu inkues perlulah diambil tindakan sewajarnya sekiranya ada. Faktor penyebab yang menyebabkan saksi membisu atau pun tidak mahu memberi keterangan dengan terbuka perlulah disiasat.
Orang ramai juga tertanya-tanya serta ingin tahu apakah hasil penemuan siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas 68 buah fail yang telah diambil dari Jabatan Alam Sekitar Sarawak berhubung dengan kes ini. Kenapakah siasatan mengambil masa yang begitu lama?
Sesungguhnya keputusan inkues Rumi mempunyai satu rahmat yang tersembunyi. Keputusan inkues tersebut telah menidakkan faktor membunuh diri sebagai punca kematian beliau. Persoalannya ialah siapakah dalang yang sebenarnya yang telah mengabui mata semua pihak sejak dari awal lagi yang Rumi terjun membunuh diri seperti yang disiarkan dalam akhbar?
Bagaimana mungkin pihak polis melaporkannya kerana laporan autopsi masih belum lagi siap sepenuhnya pada ketika itu. Adalah perlu disiasat semula siapakah dalang yang telah melaporkan melihat Rumi terjun membunuh diri. Inilah kunci bagi menyelesaikan misteri kematian Rumi sebenarnya.
ISMAIL FARIHIN
Hulu Selangor.
No comments:
Post a Comment