AGAK menghairankan kegiatan haram kitar semula sisa industri masih berlaku sedangkan prosedur pelesenan telah wujud sekian lama.
Kenapakah pengusaha-pengusaha kitar semula ini memilih jalan yang salah sedangkan mereka boleh menjalankan kegiatan ini secara berlesen dan sah di sisi undang-undang. Perlulah dikaji apakah faktor penyebab yang menggalakkan mereka melakukan kitar semula tanpa lesen.
Adakah kerana pengusaha-pengusaha ini gagal mendapatkan lesen meskipun telah membuat permohonan berkali-kali kepada pihak berkuasa yang berkaitan? Atau adakah prosedur pelesenan begitu ketat dan sukar untuk mendapat kelulusan? Ataupun pihak yang mengeluarkan lesen mempunyai kriteria mereka sendiri yang tidak diketahui oleh orang awam.
Sudah sampai masanya prosedur pelesenan dipermudahkan bagi membolehkan kegiatan haram ini disahkan status halalnya.
Perlu diingat industri kitar semula sisa industri ini menjana pendapatan yang lumayan dan memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan. Apa yang diperlukan ialah galakan pelaburan dan pemantauan berterusan terhadap pematuhan perundangan melalui syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.Industri yang berlesen dan terkawal akan dapat menambahkan perolehan kerajaan atas cukai pendapatan dan perniagaan yang telah dijalankan.
Sekiranya perkara ini gagal ditangani secara bijaksana,kerajaan akan berterusan mengalami kebocoran ekonomi di mana kegiatan haram ini tidak menyumbang sebarang pendapatan kepada kerajaan malahan merosakkan alam sekitar dan memudaratkan kesihatan rakyat.Malahan apa yang paling merugikan ialah produk sampingan yang dihasilkan di eksport ke luar negara untuk tujuan kehalusan mutu serta penghasilan produk akhir yang berharga tinggi.
Alangkah baiknya sekiranya kerajaan memikirkan untuk menyediakan prasarana industri kitar semula ini agar penghasilan produk sampingan dan akhir dapat dibuat di negara kita sendiri.
Ini secara tidak langsung dapat membendung ketidakseimbangan di dalam perdagangan antarabangsa serta menghalang pengaliran keluar wang negara dalam industri yang berkaitan dengan logam, pembuatan,pembinaan dan sebagainya.
Adalah diharapkan persaingan yang kompetitif, galakan pelaburan dan sokongan pelesenan dan penguatkuasaan yang telus akan dapat meningkatkan status kitar semula sisa industri di negara kita ini mencapai tahap piawai dunia.
Kekangan prosedur pelesenan, kerenah birokrasi yang disengajakan untuk kepentingan pihak tertentu, pilih kasih dalam pemberian lesen, unsur- unsur korupsi dan sebagainya haruslah dihapuskan bagi merealisasikan impian ini.
Ismail Farihin
No comments:
Post a Comment