Penubuhan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan permulaan operasinya pada 30 November 2005 adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua rakyat negara ini. Dengan skop tugas bagi melaksanakan penguatkuasaan maritim, mencari dan menyelamat, pengawasan marin dan memberi perkhidmatan sokongan di zon maritim kepada agensi lain yang sedia ada, adalah diharapkan APMM dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan dan perlindungan perairan negara, zon ekonomi eksklusif serta pelantar benua secara bersepadu dan berkesan.
Keanggotaan APMM juga terdiri daripada gabungan pegawai-pegawai yang berpengalaman yang dulunya pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Jabatan Kastam.
Pengalaman yang luas sejak berkhidmat dengan agensi asal akan dapat menyumbang kepakaran dan perkhidmatan bagi memantapkan lagi imej dan kredibiliti APMM.
Memandangkan tiada pertindihan tugas di antara APMM dengan agensi-agensi penguatkuasaan maritim sedia ada, adalah wajar bagi pihak-pihak yang terlibat memobilisasikan sumber sedia ada secara efektif dan berkesan. Skop dan fungsi masing-masing mesti diperjelaskan sedari awal operasi APMM bermula bagi mengelakkan pertindihan dan perebutan kuasa sewaktu menjalankan tugasan masing-masing di perairan negara.
Di samping itu juga `kawasan kelabu' bagi penentuan agensi mana yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan perundangan maritim negara perlulah diperjelaskan. Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang tidak dicakupi oleh mana-mana agensi penguatkuasaan tetapi relevan dari segi kawalan keselamatan perairan negara kita.
Memandangkan kawasan perairan dan zon maritim negara kita begitu kaya dengan sumber asli yang unik seperti terumbu karang, perikanan, taman laut dan sebagainya, peranan APMM dalam melindungi khazanah negara daripada dieksploitasi serta diancam oleh pencemaran dan aktiviti yang merosakkan seperti penggunaan pukat tunda dan bahan letupan bagi menangkap ikan di sempadan perairan negara perlulah diberi perhatian sewajarnya. Pemantauan yang berterusan perlulah dilakukan bagi mencegah berlakunya kejadian ini secara berleluasa.
Di samping itu juga kejadian penyeludupan masuk dan keluar (import/eksport) bahan-bahan buangan industri yang boleh diguna semula seperti bateri terpakai melalui perairan negara ke negara lain yang berhampiran perlu juga diawasi.
Sewaktu kerajaan menggalakkan industri pemprosesan semula bahan buangan bateri terpakai ini di negara kita, penyeludupan keluar bahan mentah ini akan menjejaskan bekalan dalaman untuk kegunaan industri tempatan.
Kejadian pelupusan haram buangan enap cemar sisa toksik dan buangan minyak oleh kapal-kapal dagang di perairan negara dan sempadannya serta juga di kawasan perairan yang diklasifikasikan sebagai kawasan no mans land memerlukan pengawasan yang rapi dan berterusan.
Kegiatan aktiviti pencucian tangki kapal yang menghasilkan beribu tan sisa minyak jika tidak diawasi akan diseludup keluar dan kebiasaannya dibuang ke dalam perairan negara. Akibatnya kehidupan hidupan marin negara akan teruk terancam.
Kematian dugong yang sering berlaku di perairan Johor adalah berpunca daripada kesan pencemaran perairan negara yang gagal dikawal oleh agensi penguatkuasaan sedia ada.
Terdapat juga aktiviti pelupusan bahan buangan pengorekan yang dibenarkan untuk dilupuskan ke dalam perairan negara oleh agensi-agensi tertentu. Kebiasaannya kelulusan diberikan terhadap kawasan pelupusan yang dibenarkan setelah mengambil kira pelbagai faktor alam sekitar dan lain-lain. Kawasan yang diluluskan diberi tanda dalam kordinat tertentu.
Bagaimanapun aktiviti pelupusan ini gagal dikawal selia dari segi pematuhannya dan diragui bagaimanakah pemegang lesen menjalankan pelupusan seperti mana syarat-syarat permit yang telah dikeluarkan.
Kawalan terhadap kejadian tumpahan minyak, bahan berbahaya dan beracun, ballast water dan lain-lain lagi perlu juga diawasi kesan pencemaran yang terjana terhadap kualiti air dan hidupan marin negara.
Oleh yang demikian APMM perlulah mempunyai kuasa perundangan yang mencukupi bagi melaksanakan tugas dan fungsinya dengan berkesan. Penurunan ataupun perpindahan kuasa secara mutlak daripada agensi penguatkuasaan sedia ada kepada APMM perlulah dilaksanakan.
Tidak ada faedahnya meletakkan kuasa perundangan kepada sebuah agensi yang tidak mempunyai sumber peralatan dan kakitangan yang mencukupi untuk mengawal masalah pencemaran maritim negara selama-lamanya dan adalah wajar APMM mengambil alih tugasan ini sepenuhnya.
Semoga masalah pencemaran yang sering berlaku di kawasan perairan negara tanpa kawalan ketat selama ini akan dapat diatasi oleh kecemerlangan APMM.
Ismail Farihin
Bukit Beruntung,
Selangor
No comments:
Post a Comment