Saya cuba mengimbas kembali beberapa isu-isu alam sekitar negara yang telah dibangkitkan oleh pihak media massa tetapi masih belum nampak penghujung penyelesaiannya. Mungkin kerana rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan manusia `mudah pelupa' dan agensi kerajaan pula sering berdolak-dalik dalam memberi penjelasan berhubung sesuatu isu yang timbul.
Imbas kembali tajuk keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 April 2005 `Tubuhkan Pasukan Siasatan Dalaman Bebas Untuk Menyiasat'. Isu yang ditimbulkan pada ketika itu ialah mengenai ketidakpuasan hati beberapa NGO terhadap sikap Jabatan Alam sekitar (JAS) dalam menangani tiga isu utama yang berbangkit seperti kes kematian Pegawai Kawalan Alam Sekitar Rumie Azzan Malie di Sarawak, lori treler sisa toksik yang hilang di Perak dan simpanan sisa toksik di dalam kawasan premis kilang di Johor bersaiz sama seperti sebuah padang bola!
Penjelasan yang dibuat oleh pihak berkuasa yang menegaskan ketiga-tiga isu tersebut tidak berlaku telah banyak menimbulkan keraguan seperti yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Shariff, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Loh Chi Leong dan Penasihat Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Gurmit Singh. Ketiga-tiga tokoh NGO ini telah mempersoalkan serta mempertikaikan penjelasan yang telah dibuat.
Kes kematian Rumie telah pun mendapat perhatian pihak yang lebih berkuasa dan inkues mengenainya sedang berjalan sekarang. Kes treler hilang pula banyak menimbulkan keraguan tentang kaedah siasatan yang dijalankan dan kehilangan bahan bukti yang menyulitkan pendakwaan.
Kuasa mahkamah ataupun kuasa Pengarah JAS Negeri yang berhak mengeluarkan arahan pelepasan lori treler tersebut? Begitu juga dengan penafian Ketua Pengarah JAS mengenai tindakan tidak boleh diambil ke atas premis yang menanam sisa toksik di kawasan sendiri.
Jikalau Ketua Pengarah sendiri tidak memahami Akta yang dikuatkuasakannya serta kuasa yang telah diperuntukkan kepadanya oleh Akta, memang benarlah seperti yang dinyatakan oleh Gurmit yang beliau keliru dengan penjelasan yang diberikan!
Cadangan bagi menubuhkan pasukan siasatan dalaman pun masih tidak diketahui. Kalau sudah dibuat apakah hasil siasatan pasukan ini mengenai kelemahan JAS dalam menangani isu-isu rakyat yang telah dibangkitkan? Kenapakah perakuan pasukan tersebut tidak dihebahkan untuk pengetahuan awam?
Jika pasukan itu belum ditubuhkan lagi ataupun masih terkial-kial mencari jawapan yang pasti terhadap isu-isu tersebut, mungkin penubuhan satu Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat kelemahan dan mencadangkan Penambahbaikan JAS wajar ditubuhkan dengan segera.
Kalau isu ketuk ketampi dan kematian perunding yang dihempap simen memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan, betapa pula dengan isu sisa toksik Kg. Sg. Gatom, kebakaran bilik fail JAS di Johor yang dikaitkan dengan pegawai kanan JAS Putrajaya dan lain-lain isu yang berbangkit yang masih belum selesai.
Jika JAS berterusan begini, betapa pula penderitaan rakyat yang berterusan diancam pencemaran? Tindakan segera wajar diambil. Bukan membiarkan masa menentukan keadaan dan tindakan yang akan diambil. Cegah sebelum parah.
Ismail Farihin
Bukit Beruntung,
Selangor.
No comments:
Post a Comment