Tuesday, 22 February 2011

Tugas orang baru pastikan udara sihat


SYABAS dan tahniah kepada Datuk Azmi Khalid dan Datuk Suboh Mohd Yassin di atas pelantikan mereka sebagai Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baru.


Memang bertepatan dengan waktunya kedua-dua tokoh ini mengisi kekosongan jawatan yang telah dikosongkan oleh penyandang-penyandang jawatan lama. Begitu juga betapa besar harapan rakyat untuk melihat dua tokoh ini memacu sebuah kementerian yang semakin penting dalam mengurus serta mentadbir sumber asli negara di samping memastikan persekitaran yang sihat bagi menjamin kesihatan, kebajikan dan keselamatan rakyat tidak berterusan diancam oleh pencemaran alam sekitar dan kemusnahan sumber asli negara.



Pencapaian negara menduduki tangga kesembilan dalam prestasi alam sekitar baru-baru ini di antara 133 buah negara yang dikaji, memerlukan satu kesinambungan daya kepimpinan yang berwawasan dan dinamik bagi memastikan pencapaian ini dapat dikekalkan ataupun dipertingkatkan dan tidak merosot untuk tahun-tahun yang akan datang.



Sudah sewajarnyalah persiapan dibuat bagi merangka `peta jalan' untuk tujuan ini. Antara perkara yang diperlukan ialah memastikan pengumpulan data yang boleh dipercayai dan metodologi yang sesuai bagi menjana prestasi alam sekitar negara dalam pelbagai sektor dasar tertentu.



Kejayaan ini amat besar maknanya kepada seluruh rakyat kerana ia menggambarkan polisi-polisi yang digubal oleh kerajaan Malaysia selama ini berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar berada dalam landasan yang amat baik.



Rakyat perlu dididik untuk menghargai penggunaan sumber asli secara berhemah, aspek pencemaran, keberkesanan polisi dan sebagainya. Polisi yang jelas dan terarah akan dapat merealisasikan matlamat ini dalam RMK-9 nanti.



Kejadian pelupusan haram sisa industri yang bersifat toksik di beberapa negeri pesat membangun dengan aktiviti perindustrian seperti Johor dan Selangor telah mengundang banyak persoalan yang masih belum terjawab. Aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pematuhan industri nyata kurang berkesan dilaksanakan oleh agensi dan jabatan yang terlibat.
Bagaimana pula dengan keadaan pemantauan, penguatkuasaan dan pematuhan peringkat negeri.



Adakah pihak yang bertanggungjawab hanya menanti kuburan sisa-sisa toksik ini ditemui oleh rakyat tanpa melakukan tindakan pencegahan dengan melakukan pemeriksaan ke atas semua premis ataupun punca industri yang mengeluarkan buangan sisa toksik?



Sewajarnya penguatkuasaan yang tegas dan tidak terlalu banyak menggunakan budi bicara diperlukan bagi menangani permasalahan ini.



Jika diteliti pencapaian tindakan penguatkuasaan dan kes-kes mahkamah yang telah selesai untuk tahun 2003 hingga 2005, kurang dari lima kes yang telah berjaya didakwa atas kesalahan perlanggaran peraturan yang berkuat kuasa bagi mengawal pelupusan sisa toksik.



Jumlah penalti yang dikenakan juga agak minimum. Belum terdapat lagi kesalahan yang dianggap berat dan memerlukan hukuman penjara. Bilangan kes kecil ini tidak menggambarkan keadaan pematuhan industri yang sebenarnya apabila isu pelupusan haram sisa toksik semakin menjadi-jadi dan di luar kawalan pihak berkuasa.



Ironinya, terdapat pula pusat-pusat pemerolehan kembali masih belum menghantar residue sisa ke Kualiti Alam untuk tujuan pelupusan hingga ke saat ini!



Kemungkinan terdapatnya sindiket yang beroperasi dalam kegiatan pelupusan haram sisa toksik ini perlu juga dikaji dan disiasat.



Modus operandi yang diguna pakai, pihak yang terlibat dalam sindiket ini dan laba keuntungan yang diperoleh akan mendedahkan punca dan tujuan sebenar perkara ini berlaku tanpa pengawasan rapi pihak berkuasa.



Kini agensi dan jabatan yang terlibat dengan pengurusan sumber asli negara diletakkan di bawah satu bumbung.



Sudah sewajarnyalah koordinasi yang lebih tersusun dan terancang terbina di antara pelbagai agensi dan jabatan yang terlibat. Malah sepatutnya juga isu berkaitan dengan kemusnahan sumber asli tidak lagi dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar sekiranya semua pihak yang terlibat bekerjasama merealisasikan hasrat dan wawasan pucuk pimpinan negara.



Adalah diharapkan kombinasi terbaik di antara Azmi Khalid dan Suboh Mohd Yassin akan dapat membawa kepimpinan kementerian ini ke satu tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Isu-isu semasa yang didedahkan oleh pihak media massa sewajarnya diselesaikan dengan segera.



ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung,
Selangor.

No comments:

Post a Comment