Tuesday, 22 February 2011

JAS perlu lebih cekap


PELUPUSAN haram sisa toksik semakin menjadi-jadi di negara kita ini dan seolah-olah di luar kawalan pihak berkuasa.

Kesan dan akibat daripada pencemaran sisa toksik ini sudah banyak diper-katakan dan janji-janji bagi mengatasi ataupun mengawal permasalahan ini sudah muak dan jelik untuk didengar! Kerana apa? Cakap tak serupa bikin.

Jika tak percaya semak semula rekod-rekod lama keratan akhbar dan klip visual yang dirakamkan oleh stesen televisyen di negara kita mengenai isu ini.

Cerita pencemaran alam sekitar hanya panas seketika dan waktu itulah pelbagai pihak akan menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan yang tinggi untuk bertindak mengatasi masalah. Apabila keadaan kembali normal, pihak yang berwajib akan berterusan mengamalkan pengurusan seperti biasa, menunggu bilakah lagi kuburan haram sisa toksik yang lain ditemui. Bekerja secara reaktif.

Nampaknya arahan dan gesaan Perdana Menteri tidak diberi perhatian oleh pihak yang berwajib. Amanah rakyat tidak dilaksanakan secara jujur dan efektif.

Jika diteliti dengan betul dan dikaji punca permasalahan dengan mendalam, kita dapati sudah cukup perundangan yang tersedia bagi mengawal masalah pencemaran ataupun pelupusan haram ini.

Sistem inventori, nota konsainan, sistem notifikasi, sistem penjejakan sisa toksik yang didasarkan kepada konsep craddle to grave, sistem pendaftaran syarikat pengangkut dan kemudahan pemerolehan kembali dan sebagainya sudah begitu hebat untuk dilaksanakan bagi mengawal aktiviti pelupusan haram ini.

Jadi, jikalau sudah ada sistem yang berupaya untuk memantau pergerakan sisa toksik yang terjana dari industri, apakah pula faktor penyebab yang sebenar gagal mengesan pembuangan secara haram?

Keadaan bertambah meruncing apabila tiada pemantauan ke atas kesahihan data yang dimasukkan ke dalam sistem komputer berkenaan. Maka sekarang timbul persoalan sama ada pihak berwajib benar-benar tahu tentang statistik penghasilan sisa toksik keseluruhannya di Malaysia, meliputi jumlah kuantiti, jenis sisa, kaedah pelupusan dan sebagainya.

Timbul pula persoalan selanjutnya, apa benarkah fakta data-data yang dilaporkan di dalam Laporan Tahunan JAS saban tahun mengenai statistik yang berkaitan!

Undang-undang yang bagus tidak akan berkesan jika tidak disokong dengan sistem penguatkuasaan yang sistematik dan terancang. Pengetahuan yang mendalam diperlukan bagi melaksanakan tugasan yang rumit ini. Penguatkuasaan hendaklah dilakukan secara tegas, adil, saksama, konsisten, wibawa dan tidak mengikut interpretasi individu terhadap peruntukan undang-undang yang digubal.

Maka perlu ada arahan dan pelaksanaan seragam dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan ini. Kita tidak mahu kejadian di Perak di mana lori treler yang sepatutnya merupakan bahan bukti kes untuk mengaitkan kejadian pelupusan haram telah dilepaskan oleh pihak tertentu yang akhirnya tiada sebarang tindakan mahkamah dapat dilaksanakan ke atas pihak yang bersalah.

Betapa pula konspirasi kebakaran bilik fail di JAS Johor yang dikaitkan dengan pegawai kanan JAS Putrajaya yang kini pihak orang awam masih ternanti-nanti siapakah dalangnya yang sebenar? Akibat kebakaran bilik fail tersebut telah memusnahkan semua kertas siasatan kes berprofil tinggi yang terdapat di seluruh Johor termasuklah kes lambakan sisa toksik dari Taiwan.

Sampai bilakah keadaan begini akan dibiarkan berterusan?

Ismail Farihin,
Bukit Beruntung,
Selangor

No comments:

Post a Comment