Peperangan adalah dianggap sebagai satu jenayah yang mengancam keamanan manusia sejagat. Oleh yang demikian sudah sewajarnyalah pihak yang terlibat di dalam mempelopori serta bersekongkol dan menyokong keganasan peperangan ini dianggap sebagai `penjenayah perang'.
Ini termasuklah ketua-ketua negara yang memulakan peperangan, aktiviti komersial yang bersangkutan dengan penjualan senjata perang, institusi kewangan yang memberi dana dan membiayai kos peperangan, aktiviti industri yang mengeluarkan kelengkapan perang serta kajian saintifik yang terlibat dalam penciptaan alat kelengkapan senjata pemusnah yang digunakan semasa peperangan. Ini adalah sebahagian daripada inti pati deklarasi yang telah digubal dalam Inisiatif Kuala Lumpur Mengenai Jenayah Peperangan hasil daripada penganjuran Forum Keamanan Sejagat yang telah berlangsung dari 15 Disember hingga 17 Disember 2005 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pembunuhan yang dilakukan sewaktu perang adalah dianggap jenayah yang sama taranya dengan pembunuhan yang dilakukan sewaktu aman. Pihak yang terlibat dalam melakukan jenayah perang ini perlulah diadili secara saksama oleh sebuah mahkamah keadilan antarabangsa. Ketua-ketua negara yang memulakan peperangan perlu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk diadili dan dijatuhkan hukuman setimpal.
Di samping mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang mencetuskan peperangan dan lain-lain pihak yang bersekongkol dengannya, deklarasi itu juga menggesa beberapa tindakan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi membanteras jenayah peperangan ini. Antara lain ialah menggesa semua negara memperkukuhkan prinsip Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan menginstitusikan kaedah penyelesaian konflik dan pertelingkahan melalui cara perundingan damai dan menolak peperangan! Parti-parti politik seluruh dunia mestilah menyertakan konsep keamanan sebagai prinsip utama penubuhannya.
Peranan dan penglibatan kelompok masyarakat antarabangsa yang berperanan dalam memberikan kesedaran dan menyampaikan mesej keamanan seperti media massa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin-pemimpin agama hendaklah dipertingkatkan di seluruh dunia. Melalui sinergi yang tersusun dan aktiviti yang terancang, gelombang kesedaran terhadap kepentingan mengekalkan keamanan sejagat dan mengutuk sekeras-kerasnya peperangan atas apa sebab sekalipun akan mudah dicapai. Semua pihak perlu bekerjasama dan menggembleng usaha bersepadu secara berterusan sehingga keamanan mutlak dapat diwujudkan di muka bumi ini.
Kaedah dan perancangan yang tersusun amat diperlukan bagi melaksanakan kesemua perkara yang terkandung di dalam deklarasi keamanan tersebut. Prinsip, strategi, skim pelaksanaan dan sebagainya perlulah dirangka sebelum memulakan sebarang langkah untuk mempromosi dan menyebarkan konsep keamanan sejagat ini. Jika falsafah seni peperangan yang ditulis lebih kurang 2,300 tahun yang lalu oleh Sun Zi pakar peperangan di China dijadikan ikutan serta amalan panglima-panglima perang di serata dunia ketika ini, satu dokumen mengenai seni keamanan `Seni Perdamaian' perlulah digubal sebagai dokumen blue print untuk dijadikan garis panduan pelaksanaan oleh negara-negara yang bernaung di bawah piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Secara tidak langsung produk keamanan yang diperkenalkan akan dapat membangkitkan rasa kesedaran pemimpin-pemimpin dunia terutama sekali kuasa-kuasa besar akan peri pentingnya hidup bermasyarakat dalam dunia yang aman damai.
Strategi
Perjuangan bagi mengekalkan keamanan dunia perlulah menggunakan strategi yang dapat menembusi segenap sektor politik, diplomasi, ekonomi, tentera, sosiobudaya, pelbagai fahaman dan pegangan agama melalui skim dan strategi perancangan yang tersusun. Melalui kesabaran dan perjuangan yang tidak mengenal batas sempadan dan kental menghadapi pelbagai kekangan dan rintangan sahaja usaha murni ini akan berjaya dilaksanakan.
Memang agak sukar untuk meyakinkan masyarakat anatarabangsa dalam tempoh terdekat ini, tetapi melalui sinergi pelbagai pihak dan gelombang kesedaran keamanan yang semakin memuncak di seluruh pelosok dunia, tidak mustahil usaha murni ini berjaya mencapai misi dan visinya.
Di bawah kepimpinan, bimbingan dan nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekretariat tetap yang akan ditubuhkan di Kuala Lumpur mampu melaksanakan semua deklarasi yang telah digubal. Sesungguhnya usaha murni menyemai benih-benih keamanan ini amat digalakkan oleh agama Islam itu sendiri. Sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis qudsi, berkata Abu Darda' r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: Allah telah berfirman yang maksudnya:
``Sungguh Aku akan membalas sizalim itu, sama ada segera atau lambat. Dan sungguh Aku akan membalas orang yang melihat orang teraniaya, sedang ia boleh menolongnya, tetapi tidak mahu menolong.''
(Riwayat Abus-Syaikh dan Thabarani)
Jelas di sini bukan orang yang menganiaya saja yang akan menerima balasan Allah s.w.t. bahkan orang yang yang menyaksikan kezaliman itu berlaku, sedang ia sanggup melarang atau menahannya daripada berlaku, akan tetapi dia tidak bertindak, atau bersikap acuh tak acuh saja. Dia juga akan mendapat balasannya daripada Allah s.w.t kerana ia turut berserikat dengan sizalim itu. Kezaliman itu adalah suatu mungkar yang patut ditegah atau dilarang.
ISMAIL FARIHIN
No comments:
Post a Comment