Tuesday, 22 February 2011

Usaha pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat


Pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat Sosial (CSR) adalah suatu usaha yang baik dan sewajarnya dipraktikkan oleh komuniti perniagaan ataupun syarikat korporat. 


CSR memberikan kebaikan kepada ekonomi,sosial dan juga perlindungan alam sekitar. 
Pihak korporat tidak memberatkan kepada aspek meraih keuntungan perniagaan semata-mata tetapi memastikan perniagaan yang dijalankan tidak menimbulkan masalah terhadap sosial dan juga kerosakan alam sekitar. 



Justeru syarikat korporat yang bertanggungjawab akan memastikan keseimbangan tiga elemen penting iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar dan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pelaksanaan program-program yang berkaitan. Perbelanjaan yang dibuat kepada pelaksanaan CSR dilihat lebih sebagai pelaburan jangka panjang bagi pihak syarikat korporat dan tidak dianggap sebagai kos tambahan. 



Di dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif ini, CSR sering dijadikan kayu pengukur bagi menilai sesuatu komitmen syarikat korporat terhadap persekitaran sosial di mana beroperasi. Malahan CSR dijadikan sebagai penanda aras bagi pencapaian sesebuah syarikat korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan alam sekitarnya. 



CSR memberikan satu kelebihan dimensi kepada syarikat korporat dari segi imej, kedudukan, pencapaian,`business operational sustainability', dan lain-lain lagi. Operasi syarikat yang mengambil kira kepentingan sosial dan alam sekitar memudahkan penerimaan masyarakat setempat terhadap perniagaan yang dijalankan. 



Suasana harmoni akan dapat diwujudkan dan risiko penentangan terhadap syarikat dari masyarakat setempat dapat dielakkan. 



Malahan CSR juga dapat membantu syarikat-syarikat untuk menembusi pasaran antarabangsa yang kini semakin menitikberatkan aspek ini. 



Kejadian pelupusan haram sisa toksik di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor yang dikaitkan dengan sebuah kilang di Melaka, pencemaran bau busuk dari kilang berasaskan getah di Klang dan lain-lain lagi, menunjukkan tahap tanggungjawab sosial bagi syarikat perniagaan dan korporat di negara kita ini amat rendah sekali. Syarikat terbabit tidak menghiraukan langsung keselamatan orang awam dan kebersihan alam sekitar tetapi cuma memikirkan untuk membuat keuntungan dengan cara yang tidak bermoral dan tidak beretika. 



Ancaman ataupun risiko terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang awam tidak diendahkan langsung yang terjana dari operasi perkilangan ataupun kaedah pelupusan sisa yang diguna pakai. Hak orang awam bagi mendapatkan persekitaran yang bersih telah dinafikan sama sekali. 


Digubal 


Memandangkan perkembangan yang tidak sihat yang dirasakan semakin berleluasa ini, sudah sewajarnyalah satu kaedah kawalan dikuatkuasakan ke atas syarikat-syarikat perniagaan dan korporat bagi menerapkan elemen CSR ke dalam budaya perniagaan yang dijalankan. Mungkin satu peraturan khusus digubal bagi melaksanakan pemakaian CSR, bukan setakat secara sukarela seperti yang diamalkan sekarang ini. 



Laporan tahunan syarikat akan dinilai dari segi prestasi kewangan, sosial dan alam sekitar. 
Masyarakat umum akan dapat membuat penilaian masing-masing terhadap komitmen sesebuah syarikat tersebut dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya serta perlindungan alam sekitar yang berkaitan. 



Kita tidak mahu melihat kos pampasan pencemaran dan kesengsaraan sosial berterusan ditanggung oleh pihak ketiga iaitu kerajaan. 



Usaha murni kerajaan negeri Melaka membayar pampasan pencemaran kepada penduduk Kampung Sungai Gatom merupakan contoh terbaik. Meskipun jumlah yang disumbangkan tidak seberapa jika dibandingkan dengan kesengsaraan ancaman kesihatan dan nyawa 1,000 penduduk yang terlibat, sumbangan tersebut mungkin dapat meredakan pihak yang terlibat. 
Walau bagaimanapun sumbangan yang menggunakan wang pembayar cukai ini sewajarnya dibuat secara berhemah dan disalurkan dengan cara yang terbaik. 



Apa yang lebih diperlukan sekarang ini ialah bagi meneruskan pendakwaan terhadap kontraktor, kilang dan tuan-tuan punya tanah yang bersekongkol dalam pelupusan haram sisa toksik tersebut. Tuntutan bayaran pampasan kerosakan alam sekitar yang terjana, kesengsaraan masyarakat yang diancam keracunan ammonia yang boleh mengakibatkan kematian selain penalti kesalahan yang akan ditentukan oleh mahkamah perlulah dibuat. 
Hukuman ini akan menjadi satu usaha penghalang kepada pihak lain untuk mengulanginya. 



ISMAIL FARIHIN 

No comments:

Post a Comment