Tuesday, 22 February 2011

Krisis air Gombak serlahkan kepincangan


KRISIS bekalan air di sekitar kawasan Gombak yang berlaku akibat tumpahan minyak kelapa sawit dari perlanggaran lori pengangkut di Lebuhraya Karak seterusnya menyebabkan pencemaran air mentah di takat pengambilan dan rawatan air di Batu 12 Gombak baru-baru ini banyak menyerlahkan kepincangan pengurusan krisis di kalangan agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat.
Bagaimanakah agaknya sekiranya tumpahan itu melibatkan minyak diesel ataupun kontaminan toksik yang lain?

Kenyataan Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor, (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail dalam Buletin Utama TV3 yang disiarkan pada 13 September 2005 perlulah diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa yang terlibat.

Beliau telah melahirkan rasa dukacita di atas sikap pihak Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor yang ambil sikap lepas tangan dalam menangani isu pencemaran yang berlaku.

Pihak Syabas dengan keprihatinan dan tanggungjawab sosialnya telah dibiarkan bersendirian menangani krisis yang berlaku tanpa sebarang bantuan dari pihak yang terlibat.
Kerja-kerja pembersihan sungai dan air mentah yang tercemar diserahkan bulat-bulat kepada pihak Syabas tanpa sebarang bantuan dari pihak berkuasa negeri.

Syabas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya membekalkan air selamat kepada pengguna terpaksa bertindak sendirian.

Oleh kerana itu kekecewaan Rozali adalah berasas kerana kerja-kerja pembersihan sungai yang tercemar adalah di luar bidang kuasa Syabas dan beliau sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat mencemar takat pengambilan air Batu 12 Gombak tersebut.

Kenyataan balas Exco Infrastruktur Negeri Selangor, Datuk Fatah Iskandar seakan-akan cuba mengelak daripada bertanggungjawab terhadap kejadian yang telah berlaku dan sebaliknya mengucapkan terima kasih di atas segala usaha Syabas dalam menangani isu tersebut.

Sesungguhnya kejadian pencemaran takat pengambilan air di Gombak ini sewajarnya dijadikan pengajaran berguna dalam menganalisis dan meneliti kesediaan dan keupayaan bagi menghadapi krisis air yang lebih besar lagi.

Penyelarasan dan kerjasama pelbagai agensi terlibat perlulah diperkemas kini dan dipertingkatkan lagi.

Jikalau senario pencemaran sungai Gombak dijadikan ukuran tahap kesediaan menghadapi krisis, ternyata ia telah gagal sama sekali.

Kita akan berhadapan dengan keadaan yang lebih buruk lagi sekiranya krisis air yang lebih besar berlaku jikalau tahap persediaan yang ditunjukkan tidak begitu memuaskan sekali.
Pengajaran krisis air 1997 nampaknya sudah lama dilupakan dan pihak-pihak yang berwajib nampaknya seolah-olah alpa dan leka.

Saya juga teringat kenyataan Rozali dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini yang mana beliau mengatakan keresahan beliau tentang tahap paras air di beberapa empangan utama yang membekalkan air ke kawasan Lembah Klang berada pada paras yang agak membimbangkan.
Seterusnya beliau telah diarahkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan mengenainya lagi oleh pihak berkuasa yang terlibat dan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) dipertanggungjawabkan untuk membuat pengumuman mengenainya.

Sehingga kini kita tidak lagi mendengar mengenai keadaan sebenar paras air di empangan utama tersebut.

Adakah sudah kembali normal ataupun berada pada tahap yang amat kritikal memandangkan musim kering masih belum berakhir?

Jikalau keadaan ini semakin meruncing dan diburukkan lagi dengan tahap persediaan menghadapi krisis air seperti yang diserlahkan dalam kes Sungai Gombak, sudah sepatutnyalah kita perlu berasa risau menghadapi pelbagai kemungkinan yang akan mendatang.

ISMAIL FARIHIN
Hulu Selangor,
Selangor.

No comments:

Post a Comment