Inisiatif dan cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Yayasan Kepimpinan Perdana menganjurkan Forum Keamanan Sejagat dari 15 hingga 17 Disember 2005 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur merupakan usaha murni yang perlu disokong oleh segenap lapisan masyarakat.
Adalah terlalu awal untuk menilai kejayaan hasil forum ini dalam mempengaruhi dasar serta corak pergolakan politik antarabangsa ketika ini. Namun apa yang pasti, benih keamanan sejagat yang disemai melalui penganjuran forum ini sedikit sebanyak akan dapat menyedarkan masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya untuk membuat penilaian semula terhadap masa depan global. Ini kerana dunia berterusan diancam oleh kerakusan kuasa, ketamakan untuk membolot hasil bumi seperti minyak dan air, kuasa hegemoni, penjajahan ke atas negara lemah oleh kuasa-kuasa besar, penjajahan ekonomi, terorisme dan sebagainya.
Akibat buruk yang ketara daripada permasalahan ini ialah wujud ketidakseimbangan keadilan sosial, kemiskinan, kebuluran serta kemusnahan alam sekitar yang berterusan.
Tidak ada satu pun masyarakat dunia yang mempunyai fikiran waras dan bijak sukakan peperangan. Rata-rata semua insan di dunia ini cintakan perdamaian dan keamanan. Hanya masyarakat yang tidak bertamadun sahaja tergila-gilakan peperangan dan penindasan.
Oleh demikian penganjuran forum ini boleh dikatakan telah berjaya menarik perhatian dunia di mana penyertaan segenap lapisan masyarakat antarabangsa amat menggalakkan. Penyertaan dari kalangan profesional, akademia, korporat, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya jelas menampakkan sokongan padu ke arah merealisasikan pelan tindakan keamanan yang bakal dihasilkan oleh forum ini.
Mengambil contoh kejayaan NGO dalam menyedarkan masyarakat antarabangsa mengenai ancaman pencemaran terhadap alam sekitar hingga berjaya mempengaruhi dasar negara-negara di dunia ini mengenai kepentingan memulihara alam sekitar, kaedah dan model yang sama cuba diterjemahkan ke dalam penganjuran forum ini.
Bermula dari Persidangan Antarabangsa mengenai Alam Sekitar di Stockholm pada tahun 1972, Persidangan Antarabangsa mengenai Pembangunan dan Alam Sekitar di Rio tahun 1992 dan Persidangan Kemuncak An-tarabangsa mengenai Pembangunan Lestari di Johannesburg tahun 2002, keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap kepentingan alam sekitar semakin menyerlah dan telah berjaya menghasilkan beberapa protokol dan konvensyen antarabangsa bagi mengawal masalah pencemaran.
Apakah penganjuran forum ini juga akan berjaya mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam melaksanakan reformasi di peringkat Majlis Keselamatan PBB untuk mencartakan hala tuju yang mantap bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan di dunia ini, sesuatu yang istimewa untuk kita amati dan nanti-nantikan.
Pembasmian peperangan adalah sesuatu yang ideal untuk dijadikan matlamat mewujudkan keamanan di dunia. Namun demikian kuasa-kuasa besar dunia akan berterusan menggunakan kuasa ketenteraan dan senjata ekonomi mereka untuk menindas negara-negara kecil.
Hanya di atas kesedaran dan tindakan global masyarakat antarabangsa terhadap bahaya peperangan dan kemusnahan yang terhasil daripadanya sahaja yang dapat mengawal masalah ini daripada berleluasa. Pemilikan senjata nuklear, penciptaan senjata berbahaya kimia dan biologi serta `senjata pemusnah besar-besaran (WMD)' dalam peperangan sudah terbukti merosakkan manusia dan alam sekitar. Lihat sahaja kesengsaraan serta kerosakan akibat kesan peperangan dunia yang pertama dan kedua serta perang di Vietnam dan Iraq.
Pengwujudan keamanan yang berkekalan adalah mirip objektif pembangunan lestari yang terhasil daripada gagasan tindakan global pemuliharaan alam sekitar. Jika pembangunan lestari ditakrifkan sebagai pembangunan masa kini tanpa menidakkan hak generasi akan datang dalam menikmati kekayaan sumber asli bumi untuk kegunaan pembangunan ekonomi mereka masa depan, sewajarnya keamanan yang berkekalan ini ditujukan kepada generasi yang akan datang sebagai pewaris dalam mencorakkan keamanan dunia.
Oleh demikian pelbagai usaha merentasi sektor sosial, fahaman agama, sosiobudaya dan sebagainya digembleng bagi mencapai hasrat murni ini. Kesedaran terhadap kebencian pada peperangan dan cintakan keamanan bagi mewujudkan dunia yang aman damai perlulah disasarkan kepada generasi pewaris ini.
Satu petunjuk ataupun indeks bagi mengukur kejayaan sesebuah negara dalam mengekalkan keamanan perlu diperkenalkan. Kriteria yang diguna pakai bolehlah dibincangkan oleh forum itu nanti. Masyarakat antara-bangsa akan dapat mengukur komitmen serta prestasi sesebuah negara dalam melaksanakan dasar tidak mengancam keamanan sejagat.
Halangan daripada kapitalis ekonomi yang terlibat meraih keuntungan dalam penciptaan dan penjualan senjata pemusnah ini akan menjadi penghalang utama terhadap pencapaian keamanan sejagat dan usaha-usaha perlulah digembleng bagi mengekangnya.
Kalau senjata pemusnah merupakan produk utama bagi melebarkan kuasa ketenteraan sesebuah negara sudah sewajarnya satu produk baru yang berpihak kepada pengekalan keamanan sejagat diperkenalkan. Melalui kesedaran dan pengaruh kuasa ekonomi yang dapat menciptakan produk keamanan sahaja, kapitalis perang akan lenyap dari muka bumi ini.
Mungkin dasar dan kaedah lembut digunapakai dalam melakukan reformasi ekonomi bagi mengehadkan penjualan serta penciptaan alat kelengkapan peperangan pemusnah.
Pembangunan insan dan sumber manusia yang memahami dasar dan konsep keamanan sejagat perlu dipertingkatkan. Pakar-pakar perunding keamanan dan pakar strategi keamanan perlu dilahirkan seberapa banyak mungkin bagi mengendalikan pertelingkahan dan konflik antarabangsa. Hanya insan yang mempunyai pegangan dan fahaman keamanan sahaja dapat melaksanakan visi dan misi mulia ini serta mengendurkan ketegangan dan penyelesaian konflik sejagat.
Sebagai sebuah negara berdaulat dan cintakan keamanan, peranan Malaysia dalam penganjuran forum ini memang dinantikan-nantikan oleh masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia dalam menerajui misi keamanan dunia sudah terserlah. Sokongan yang berterusan perlu diberikan bagi menghasilkan pelan tindakan keamanan sejagat untuk dijadikan garis panduan pelaksanaannya. Semoga usaha kecil ini akan membuahkan hasil besar untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan di muka bumi ini.
ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung,
Selangor
No comments:
Post a Comment