NEGARA telah dikejutkan dengan berita sensasi alam sekitar mengenai isu penebangan hutan di Bukit Cahaya Seri Alam.
Berita ini semakin mendapat perhatian kerana Perdana Menteri sendiri membangkitkan serta mempersoalkan kredibiliti dan integriti pihak-pihak terlibat dalam memantau pelaksanaan projek tersebut.
Berita ini agak lama juga panas di pasaran, maklumlah Perdana Menteri sendiri membangkitkan isu tersebut.
Namun lama-kelamaan berita ini senyap dan hilang dari persada pemberitaan sedangkan masih banyak persoalan yang berkaitan dengan projek tersebut gagal dihurai dan dikupas dari perspektif perlindungan alam sekitar, akauntabiliti, integriti dan transparensi.
Rakyat masih tertanya-tanya bagaimanakah tanah tersebut dipindah milik kepada syarikat-syarikat tertentu, siapa mereka sehinggakan tanah yang mempunyai aset dan nilai alam sekitar yang berharga ini boleh dipindah milik kepada segelintir individu tertentu sahaja.
Begitu juga dengan kegagalan agensi penguat kuasa yang gagal memantau pelaksanaan projek ini dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa diheret ke muka pengadilan kerana bersekongkol dan terlibat dalam konspirasi pencabulan alam sekitar Bukit Cahaya Seri Alam.
Apa yang jelas di sini ialah isu alam sekitar tidak mempunyai nilai berita yang bertahan lama dan ia kelihatan bermusim serta mempunyai kaitan dengan agenda pihak-pihak tertentu.
Liputan isu yang dibuat tidak mencakupi skop yang meluas dan lebih tertumpu kepada serangan personaliti antara kumpulan yang mendapat projek dengan yang tidak.
Tidak keterlaluan jika dikatakan isu tersebut lebih merupakan agenda politik bagi pihak-pihak tertentu.
Apa yang menyedihkan penerokaan hutan tersebut telah berlaku dengan kemusnahan yang teruk.
Negara juga telah dikejutkan dengan berita-berita sensasi alam sekitar seperti pengimportan haram sisa toksik dan Taiwan: Kematian seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Sarawak Rumie Azzan Malie; kebakaran bilik fail Jabatan Alam Sekitar Johor yang dikaitkan dengan kemusnahan bahan bukti kes berprofil tinggi yang juga didakwa terlibat dalam kes lambakan sisa toksik dari Taiwan secara haram ke negara kita; kehilangan sebuah treler yang merupakan ekshibit bagi kes pendakwaan Jabatan Alam Sekitar Perak, kes-kes aduan pencemaran seluruh negara dan insiden terbaru keracunan ammonia di Selayang, Selangor.
Rakyat tertanya-tanya apakah kesudahan insiden yang dilapor oleh pihak media selama ini.
Sudahkah syarikat dan mereka yang terlibat dalam sindiket penipuan membawa masuk sisa toksik dari Taiwan ini didakwa?
Apakah yang telah terjadi ke atas simpanan longgokan sisa toksik beribu-ribu tan di kilang dan pelabuhan Pasir Gudang? Sudahkah sisa toksik tersebut dihantar kembali ke negara asalnya Taiwan?
Bilakah inkues bagi kes kematian Rumie akan bermula? Kenapa masih dilewat-lewatkan?Sudahkah siasatan polis mengenai kes kebakaran bilik fail tersebut mengenal pasti dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat?
Apakah hukuman Arahan Pentadbiran yang telah dijatuhkan kepada pentadbiran Jabatan Alam Sekitar yang gagal memantau dan mengawasi keselamatan dokumen Rahsia Rasmi Kerajaan?
Apakah kesudahan kes treler kerana hanya kuasa mahkamah sahaja yang menentukan sama ada treler tersebut boleh dilepaskan ataupun tidak dan bukannya kuasa budi bicara Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dalam menentukan treler tersebut boleh dilepaskan memandangkan kes siasatan masih berjalan ke atas premis yang disiasat!
Rakyat ternanti-nanti kesudahan berita sensasi alam sekitar yang telah dipaparkan selama ini. Contoh-contoh di atas perlu diperjelaskan.
Kita tidak mahu alam sekitar terus dilacurkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dengan motif dan agenda tersendiri dalam mengaut keuntungan ekonomi dari mengabaikan tanggungjawab sosial.
Semoga dengan era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang telah menzahirkan dimensi, perspektif dari hala tuju baru dalam mengurus tadbir alam sekitar negara, perkara-perkara yang dibangkitkan ini akan mendapat perhatian penyelesaian segera yang sewajarnya tanpa melindungi pihak-pihak yang cuai dan menyalahgunakan kuasa.
ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung
Selangor
No comments:
Post a Comment