Tuesday, 22 February 2011

Wujudkan strategi promosi konsep keamanan sejagat


Peperangan adalah dianggap sebagai satu jenayah yang mengancam keamanan manusia sejagat. Oleh demikian sudah sewajarnya pihak yang terlibat dalam mempelopori serta bersekongkol dan menyokong keganasan peperangan ini dianggap sebagai `penjenayah perang'.

Golongan ini termasuklah ketua-ketua negara yang memulakan peperangan, aktiviti komersial yang bersangkutan dengan penjualan senjata perang, institusi kewangan yang memberi dana dan membiayai kos peperangan, aktiviti industri yang mengeluarkan kelengkapan perang serta kajian saintifik yang terlibat dalam penciptaan alat kelengkapan senjata pemusnah yang digunakan semasa peperangan.

Ini adalah sebahagian dari intipati deklarasi yang telah digubal dalam Inisiatif Kuala Lumpur Mengenai Jenayah Peperangan hasil daripada penganjuran Forum Keamanan Sejagat yang telah berlangsung 15 hingga 17 Disember baru-baru ini.

Pembunuhan yang dilakukan sewaktu perang adalah dianggap jenayah yang sama taranya dengan pembunuhan yang dilakukan sewaktu aman. Pihak yang terlibat melakukan jenayah perang ini perlulah diadili secara saksama oleh sebuah mahkamah keadilan antarabangsa.
Ketua-ketua negara yang memulakan peperangan perlu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk diadili dan dijatuhkan hukuman setimpal.

Di samping mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang mencetuskan peperangan dan lain-lain pihak yang bersekongkol dengannya, deklarasi itu juga menggesa beberapa tindakan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi membanteras jenayah peperangan ini.

Antara lain ialah menggesa semua negara memperkukuhkan prinsip Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan menginstitusikan kaedah penyelesaian konflik dan pertelingkahan melalui cara perundingan damai dan menolak peperangan! Parti-parti politik seluruh dunia mestilah menyertakan konsep keamanan sebagai prinsip utama penubuhannya.

Peranan dan penglibatan kelompok masyarakat antarabangsa yang berperanan dalam memberikan kesedaran dan menyampaikan mesej keamanan seperti media massa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin-pemimpin agama hendaklah dipertingkatkan di seluruh dunia.

Melalui sinergi yang tersusun dan aktiviti yang terancang, gelombang kesedaran terhadap kepentingan mengekalkan keamanan sejagat dan mengutuk sekeras-kerasnya peperangan atas apa sebab sekalipun akan mudah dicapai.

Semua pihak perlu bekerjasama dan menggembleng usaha bersepadu secara berterusan sehingga keamanan mutlak dapat diwujudkan di muka bumi ini.

Kaedah dan perancangan yang tersusun amat diperlukan bagi melaksanakan kesemua perkara yang terkandung dalam deklarasi keamanan tersebut. Prinsip, strategi, skim pelaksanaan dan sebagainya perlulah dirangka sebelum memulakan sebarang langkah untuk mempromosi dan menyebarkan konsep keamanan sejagat ini.

Garis Panduan

Jika falsafah seni peperangan The Arts of War yang ditulis lebih kurang 2,300 tahun lalu oleh Sun Zue, pakar peperangan di China dijadikan ikutan serta amalan panglima-panglima perang di serata dunia ketika ini, satu dokumen mengenai seni keamanan The Arts of Peace perlulah digubal sebagai dokumen blue print untuk dijadikan garis panduan pelaksanaan oleh negara-negara yang bernaung di bawah piagam Bangsa-Bangsa Bersatu.

Secara tidak langsung produk keamanan yang diperkenalkan akan dapat membangkitkan rasa kesedaran pemimpin-pemimpin dunia terutama kuasa-kuasa besar akan peripentingnya hidup bermasyarakat dalam dunia yang aman damai.

Perjuangan bagi mengekalkan keamanan dunia perlulah menggunakan strategi yang dapat menembusi segenap sektor politik, diplomasi, ekonomi, tentera, sosiobudaya, pelbagai fahaman dan pegangan agama melalui skim dan strategi perancangan yang tersusun.

Melalui kesabaran dan perjuangan yang tidak mengenal batas sempadan dan kental menghadapi pelbagai kekangan dan rintangan sahaja usaha murni ini akan berjaya dilaksanakan.

Memang agak sukar untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa dalam tempoh terdekat ini, tetapi melalui sinergi pelbagai pihak dan gelombang kesedaran keamanan yang semakin memuncak di seluruh dunia, tidak mustahil usaha murni ini berjaya mencapai misi dan visinya.

Di bawah kepimpinan, bimbingan dan nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekretariat tetap yang akan ditubuhkan di Kuala Lumpur mampu melaksanakan semua deklarasi yang telah digubal. Sesungguhnya usaha murni menyemai benih-benih keamanan ini amat digalakkan oleh agama Islam sendiri. Sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis Qudsi, berkata Abu Darda' r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Allah telah berfirman yang maksudnya:
Sungguh Aku akan membalas si zalim itu, sama ada segera atau lambat. Dan sungguh Aku akan membalas orang yang melihat orang teraniaya, sedang ia boleh menolongnya, tetapi tidak mahu menolong. Riwayat (Abus-Syaikh dan Thabarani).

Jelas di sini bukan orang yang menganiaya saja yang akan menerima balasan Allah s.w.t. bahkan orang yang yang menyaksikan kezaliman itu berlaku juga akan mendapat balasannya dari Allah s.w.t. kerana ia turut bersekutu dengan si zalim. Kezaliman itu adalah suatu mungkar yang patut ditegah atau dilarang, tetapi kalau dia tidak membuat sesuatu terhadap si zalim itu, maka seolah-olah ia sama-sama bersetuju dengan kezaliman itu.

Ismail Farihin

No comments:

Post a Comment