Tuesday, 22 February 2011

Pakar mesti perah otak atasi kenaikan harga minyak


KENAIKAN harga minyak menimbulkan kesan buruk terhadap semua sektor ekonomi negara. Jika ia tidak ditangani secara bijak kesan buruk ini dijangka berlarutan dan akan menimbulkan masalah sosio ekonomi yang berpanjangan.
Strategi jangka pendek, sederhana dan panjang perlulah dirangka serta diimplementasikan secara bijak serta disokong oleh polisi yang jelas dalam kesemua kegiatan sosio ekonomi negara.
Pemberian subsidi semestinyalah dilaksanakan mengikut objektif sebenarnya kerana golongan yang tidak sepatutnya menikmati kemudahan ini turut menikmati faedah ini sejak sekian lama. Apabila kenaikan harga minyak berlaku golongan berpendapatan rendah tetap akan merasakan kesan yang paling teruk tetapi golongan mewah yang selama ini menikmati hasil subsidi serupa tidak akan merasa bahangnya.


Mungkin pemberian subsidi dalam bentuk baru boleh diperkenalkan oleh kerajaan dengan mengambil kira keupayaan membayar harga minyak oleh golongan rakyat yang berbeza-beza nilai pendapatan mereka. Ataupun pengabaian cukai produk petroleum dirombak semula bagi menampung tambahan subsidi yang diperlukan.



Pelaksanaannya mungkin mudah di atas kertas tetapi sukar untuk mengawasi kerancakan menaikkan harga barang oleh peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. Bagi barangan harga terkawal memang mudah untuk dikenal pasti tetapi bagaimana pula dengan barangan yang bukan dikawal harganya? Apa pun yang pasti pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan perlu dilaksanakan sepanjang masa oleh agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab.



Usaha yang bersungguh-sungguh perlulah dilakukan di dalam menyediakan Dasar Tenaga Nasional yang mantap dengan meneroka kemungkinan penggunaan tenaga nuklear, biomass/biofuel, ombak, suria, angin dan gas asli secara meluas.



Ini bagi mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai bahan api dan tenaga. Memandangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan dilaksanakan tidak lama lagi adalah wajar perkara ini diberi pertimbangan yang serius.



Kebaikan penggunaan sumber asli yang mesra alam ini akan menghasilkan satu kesan baik untuk jangka panjang di mana tahap pencemaran dan kadar pelepasan bahan pencemar dapat dikurangkan kepada takat paling minimum. Kualiti udara kita akan meningkat baik dan menyegarkan serta memberikan kehidupan yang lebih sihat dan selesa kepada rakyat Malaysia.

Sesungguhnya ini adalah beberapa cabaran yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan sambutan Hari Kemerdekaan ke-48. Terpulanglah kepada bijak pandai pakar ekonomi yang menasihati beliau bagaimanakah cabaran-cabaran ini perlu diatasi kerana kesabaran rakyat ada batas dan hadnya. Kita tidak mahu ada yang naik minyak.



Tragedi taufan Katrina di USA sepatutnya menginsafkan kita bala dan bencana yang Allah turunkan jika hasil bumi minyak ini tidak diuruskan dengan adil dan sempurna. Krisis jerebu yang baru berlalu mungkin membuat kita terlupa seketika meskipun ramalan nujum kaji cuaca ternyata meleset setiap kali meramalkan kemunculan ataupun kehilangan jerebu dari ruang angkasa kita.



Berdoalah kita agar Allah masih sayangkan Malaysia dan menurunkan rahmat-Nya sentiasa dan alam sekitar tidak terusan memberontak.



ISMAIL FARIHIN

Bukit Beruntung,
Selangor.

No comments:

Post a Comment