ISU pelupusan haram sisa toksik di Kg. Sg. Gatom, Labis Johor kini semakin menarik untuk dilihat kesudahan penyelesaiannya. Isu itu kini menjangkau dimensi akauntabiliti, transparensi, kredibiliti, amanah, memperkasakan hak rakyat dalam mendapatkan pampasan kerosakan pencemaran, motif serta unsur jenayah alam sekitar yang berkaitan serta jangkaan rakyat terhadap pembaharuan dalam sistem penyampaian yang berkaitan dengan kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan.
Rentetan peristiwa ini telah mendedahkan pelbagai kelemahan dalam struktur organisasi dan sistem pemantauan yang sedia ada. Pengabaian kebajikan, keselamatan, kesihatan serta kebajikan rakyat yang terjejas teruk akibat pencemaran tersebut perlu diatasi dengan sewajarnya.
Keterangan yang diberikan oleh kontraktor yang terlibat dalam pelupusan haram ini mendedahkan kelemahan beliau dalam aspek perundangan dan juga sifat naif beliau dalam membezakan antara baja dengan sisa toksik.
Atas keinsafan dan rasa bersalah akhirnya beliau tampil ke depan memberikan pengakuan. Perkara yang sama juga berlaku di kalangan rakyat jelata yang tidak mengetahui apakah rupa bentuk sisa toksik yang pelbagai jenis, sifat ketoksikannya dan juga kawalan perundangan yang dikuatkuasakan.
Jelas ini menunjukkan kelemahan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan kempen dan hebahan publisiti kepada orang ramai mengenai bahaya sisa toksik yang dilupuskan secara semberono. Usaha mendidik ini hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar bermusim.
Penglibatan polis dan pelbagai agensi lain seperti Badan Pencegah Rasuah, pejabat tanah daerah dan lain-lain lagi dalam membantu siasatan memang bertepatan sekali.
Siasatan yang menyeluruh adalah diperlukan bagi mengenal pasti motif jenayah yang dilakukan. Jaminan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menyiasat unsur sindiket ini jika melibatkan dalang tertentu yang mempunyai kaitan dengan orang dalam adalah sangat dialu-alukan.
Keperluan ini dirasakan sangat mendesak kerana sejak akhir-akhir ini kelemahan penguatkuasaan bagi kawalan pencemaran alam sekitar kelihatan lemah dan tidak bermaya. Adakah fenomena ini disengajakan oleh pihak-pihak tertentu atas agenda tersembunyi masing-masing?
Adalah disyorkan juga supaya Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan Jabatan Polis terlibat sama dalam menjalankan siasatan mengenai perkara ini. Siasat sama ada orang dalam, anak, isteri, suami ataupun adik-beradik mereka terlibat dalam senarai pemegang saham ataupun lembaga pengarah syarikat.
Andaian yang kukuh bagi memperkuatkan lagi hujah ini ialah kenapa sampai sekarang masalah pelupusan haram masih tidak dapat diselesaikan? Kenapa masih terdapat beberapa kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) enggan menghantar sisa residue mereka ke pusat pembuangan sisa toksik di Kualiti Alam, Negeri Sembilan untuk tujuan pelupusan?
Mengelak
Adakah mereka cuba mengelak daripada membayar kos pelupusan yang tinggi dikenakan? Kenapa pula kemudahan yang dilesenkan oleh JAS ini tidak dipantau sedangkan peraturan berkuat kuasa mengehadkan penstoran sisa toksik dalam kilang tidak melebihi 180 hari ataupun melebihi 20 tan metrik yang mana dulu antara satu.
Saya tidak berapa setuju jika kita menyalahkan mahkamah kerana gagal mengenakan hukuman penjara ke atas pesalah. Jika pegawai pendakwa gagal membentangkan kes mereka dengan bukti yang kukuh untuk mengaitkan kesalahan yang didakwa, bagaimana harus dipersalahkan sistem perundangan?
Saya percaya hakim-hakim di negara kita ini mempunyai keprihatinan yang tinggi dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan akan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada severity kes-kes yang dibicarakan.
Persoalan yang berlegar dalam pemikiran saya ialah betapa pula dengan bilangan kes yang telah didakwa ke mahkamah mengenai pelanggaran perundangan yang berkaitan dengan sisa toksik. Sudahkah didakwa syarikat-syarikat yang didedahkan oleh media massa dalam kes pelupusan haram di Ijok, Pasir Gudang, kes treler hilang dan sebagainya?
Ataupun masih dalam siasatan lanjut kerana tidak cukup maklumat? Ataupun telah diklasifikasikan sebagai `tiada tindakan lanjut diperlukan' kerana kekurangan bukti dan maklumat? Bagaimana orang awam hendak mempercayai sistem penguatkuasaan dilaksanakan secara telus jika tiada kes yang berjaya didakwa berkaitan dengan pelanggaran perundangan sisa toksik. Jangan dipersalahkan Akta tapi perbaiki kaedah penguatkuasaan dan pendakwaan.
ISMAIL FARIHIN
Bukit Beruntung,
Selangor.
No comments:
Post a Comment