THURSDAY, MAY 29, 2008
Wednesday, March 15, 2006
Masih terbayang di dalam ingatan penulis mengenai kenangan masa lampau sewaktu tinggal di perkampungan orang asli Bkt Mancung sewaktu zaman kanak-kanak. Ketika itu arwah bapa penulis bertugas sebagai guru mengajar kanak-kanak masyarakat orang Asli di situ. Kerajaan telah menyediakan sebuah bangunan sekolah bagi menempatkan aktiviti pembelajaran dan hanya ada satu kelas sahaja ketika itu. Bahagian depan bangunan dijadikan bilik darjah manakala di bahagian belakang pula dijadikan bilik kediaman kami sekeluarga.
Suasana yang tenang, aman dan damai bergaul dengan masyarakat orang Asli merupakan satu pengalaman yang sangat berguna buat penulis. Penulis ketika itu masih belum bersekolah dan sering menghabiskan masa bermain dengan kawan-kawan di sebuah anak sungai yang terdapat di situ. Airnya yang jernih, sejuk dan nyaman memang menggembirakan kami semua bermain di dalam air sungai tersebut.
Kami akan berkejaran antara satu sama lain sambil bermandi-manda hingga sehari suntuk lamanya.Nostalgia ini mengimbau kembali kenangan hingga memaksa penulis mendapatkan bantuan bekas Pengarah Jabatan Orang Asli Negeri Selangor iaitu saudara Razak untuk melihat semula bekas kampung yang telah lama ditinggalkan.
Perkampungan Masyarakat Orang Asli Bkt Mancung telah dihimpit arus pembangunan dan urbanisasi. Terdapat beberapa projek pembangunan perumahan seperti Bukit Beruntung dan lain-lainnya di sekitar kawasan penempatan ini. Bangunan sekolah dan rumah kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal penulis sudah tiada lagi. Anak-anak masyarakat orang Asli semuanya bersekolah di sekolah yang disediakan oleh pihak kerajaan di sekitar kawasan berdekatan.
Yang menyedihkan penulis ialah sungai yang pernah menjadi tempat bermain sudah tiada lagi dan keadaannya telah berubah menjadi sebuah parit yang kecil dan sempit. Sungai ini juga dulu asalnya salah sebuah anak sungai yang mengalir ke dalam sungai Selangor.Apabila memasuki alam persekolahan di Jeram Kuala Selangor sekitar tahun 60an arwah bapa sering membawa penulis ke Kuala Selangor.
Tujuannya ialah untuk menaiki feri dan bot penumpang yang berulang-alik menyeberangi sungai Selangor. Pada ketika itu jambatan yang menghubungi Kuala Selangor dengan kawasan di seberang sungai Selangor masih belum terbina. Hanya melalui pengangkutan bot dan feri ini sahaja kaedah perhubungan dilakukan. Begitu sibuk dan meriahnya suasana di persisiran pantai dan sungai Selangor ketika itu dengan gelagat manusia dan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijalankan.
Penulis juga akan mendaki bukit Melawati untuk menghirup udara segar dan menikmati tiupan angin bayu serta melihat pemandangan yang cantik di muara sungai Selangor dari puncak bukit Melawati.Pemandangan yang begitu indah serta panaromik sekali!Namun demikian suasana dan keadaan ini sudah berubah sama sekali.Muara sungai Selangor tidak lagi sesibuk dahulu dan kegiatan pengangkutan sungai sudah tidak digunakan lagi.Air sungai yang dulunya jernih kini telah berkeladak dan menjijikkan mata memandang.Sungai Selangor yang satu ketika dulu pernah menjadi mercu tanda kehebatan Negeri Selangor kini nasibnya dirundung malang.
Buletin Utama TV3 pada 12 Mac 2006 yang lalu telah membongkar misteri kehancuran sungai Selangor. Sungai yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi tujuan bekalan air minuman sekitar Lembah Klang telah dicemari oleh pelbagai aktiviti pembangunan yang tidak terkawal. Terdapat beberapa lokasi pengorekan pasir yang menjejaskan kualiti air sungai Selangor melalui pelepasan kelodak dan pepejal terampai yang menyumbang kepada kekeruhan sungai Selangor.
Di samping itu juga terdapat beberapa ladang ternakan babi dan lembu yang menghampiri tepi tebing sungai Selangor di mana buangan najis haiwan ternakan ini dilepaskan terus ke dalam sungai Selangor. Buangan pelepasan dari industri, tapak pelupusan sampah, rumah sembelihan babi, kumbahan dan air larian permukaan dari kawasan kebun sayur dan perladangan serta perbandaran mencemari kualiti air sungai Selangor.
Tidak hairanlah jika kualiti air mentah sungai Selangor berada pada paras yang amat membimbangkan sekali.Tindakan drastik harus diambil bagi memastikan sungai Selangor tidak berterusan diambang maut dan menjadi sungai yang mati. Pembangunan kawasan tadahan sungai Selangor perlulah dirancang dengan teliti dengan mengambilkira kepentingan serta fungsi sungai Selangor sebagai sumber bekalan air minuman yang terpenting. Usaha bersepadu perlulah digembeling bagi menghidupkan kembali pelbagai aktiviti berfaedahnya seperti bekalan air minuman, rekreasi, perikanan, pengairan dan sistem pengangkutan yang berpotensi untuk dimajukan.
Tambahan pula di lembangan sungai ini juga terdapatnya habitat kelip-kelip yang menjadi daya tarikan pelancung dalam dan luar negara yang dapat menjana ekonomi eko-pelancungan negara.Kerajaan Negeri Selangor pernah menolak permohonan dari sebuah syarikat untuk menempatkan sebuah kilang berasaskan kertas di lembangan sungai Selangor tidak lama dulu semata-mata atas keprihatinan menjaga kehidupan kelip-kelip agar tidak diancam kepupusan akibat pencemaran yang akan terjana.
Ironisnya, kenapa pula ketegasan yang sama tidak diteruskan dalam menempatkan industri yang mencemar di hulu lembangan sungai seperti pusat sembelihan babi, tapak pelupusan sampah, kilang-kilang yang menghasilkan sisa berwarna serta bersifat toksik dengan kandungan logam berat, organik dan bukan organik yang tinggi yang sudah pasti menjejaskan mutu kualiti air sungai Selangor.Kawalan pembangunan mestilah dilaksanakan dengan penuh komitmen dan bersepadu oleh pelbagai agensi dan Jabatan yang berkaitan samada di peringkat pusat mahupun negeri.
Nasib sungai Selangor memerlukan pembelaan yang sewajarnya.Bukan mencari kesalahan ataupun mempersoalkan ketelusan pihak-pihak tertentu di dalam mengurustadbir sungai Selangor. Tujuan penulis berkongsi pengalaman dan mengimbau nostalgia lama ini adalah semata-mata untuk membangkitkan rasa kecintaan kepada sungai yang merupakan nadi kehidupan kita. Sungai yang telah banyak berjasa kepada kehidupan kita perlulah dipulihara dan dibela nasibnya. Takkan tergamak kita menabur racun kepada sungai yang telah banyak menabur bakti kepada kita selama ini.
Fikirkanlah! Janganlah kerana kepentingan peribadi dan faedah individu, semangat dan keramat sungai Selangor dipersia-siakan begitu saja.Apa yang diperlukan sekarang ini ialah bagi merangka pelan pemulihan sungai Selangor yang komprehensif bagi mengembalikan fungsi dan kebersihan sungai ini. Kita tidak mahu pelan yang digubal bersifat adhoc semata-mata dengan melakukan kerja-kerja mendalam ataupun melebarkan sungai yang sering dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan tebatan banjir.
Pelan pembersihan sungai Selangor ini mestilah berobjektifkan untuk mengekalkan kualiti airnya pada tahap kelas 2 yang sesuai dengan keupayaan rawatan bekalan air minuman secara konvensional. Punca-punca pencemaran yang terdapat di kawasan lembangan sungai Selangor perlulah dipindahkan ke lain tempat terutama sekali bagi yang tiada mempunyai sistem rawatan sisa buangan.
Pembinaan infrastruktur seperti sistem rawatan sisa industri secara berpusat, sistem rawatan kumbahan berpusat dan sebagainya akan dapat menyekat kemasukan sisa buangan yang tidak dirawat dari memasuki sungai Selangor secara terus.Disamping itu juga penambahbaikan terhadap struktur tebing dan reserve sungai perlu juga diambilkira. Program mencantikkan kawasan ini perlu juga dilaksanakan.
Bagi menjayakan program pemulihan sungai Selangor ini, sejumlah dana diperlukan dan sudah sewajarnyalah syarikat pembekal air seperti SPLASH dan SYABAS turut terlibat sebagai penyumbang utama. Syarikat ASMA yang mendapat manfaat dari penswastaan pengawasan kualiti air sungai Selangor juga boleh menyumbang secara amal jariah demi kesejahteraan umat. Pihak pemaju perumahan seperti Land and General (Lembah Beringin), EMKAY LAND (Bukit Beruntung) dan lain-lainnya mungkin juga boleh turut terlibat menjayakan usaha murni dan bersepadu ini.
Tambahan pula ini adalah sejajar dengan saranan Pak Lah yang pernah mengutarakan usul untuk melihat syarikat ataupun badan korporat terlibat aktif dalam inisiatif pembersihan sungai.Penulis percaya ramai di kalangan kita yang mempunyai kenangan tersendiri mengenai kehidupan sungai di tempat masing-masing. Pengkisahan sungai akan dapat menerapkan kesedaran dan rasa cinta yang mendalam terhadap sumber asli anugerah Allah ini. Generasi muda sekarang ini akan dapat berkongsi pengalaman dan mencartakan tindakan mereka bagi meneruskan perjuangan membela nasib sebuah sungai......
Ismail Farihin
Bukit Beruntung
No comments:
Post a Comment