Cadangan penubuhan sebuah lembaga khas yang akan ditubuhkan di bawah Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi menasihati badan itu meningkatkan keberkesanannya sebagai agensi penting dalam pelaksanaan projek kerajaan wajar dan bertepatan dengan aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan fungsi dan peranan biro itu diperkasakan.
Melalui lembaga khas tersebut BPA akan dapat mencartakan hala tuju, visi dan misi sejajar dengan aspirasi negara ke arah pengurusan perkhidmatan awam yang lebih telus, akauntabiliti, berintegriti, beretika dan mesra pelanggan.
Melalui Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) bil.4/92 mengenai pengendalian aduan awam, peranan BPA sebagai penyelaras serta pemantau keberkesanan agensi kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai telah banyak menyelesaikan kerenah birokrasi di kalangan agensi dan jabatan kerajaan terlibat.
Melalui pekeliling tersebut setiap agensi dan jabatan kerajaan telah dimestikan menyediakan piagam pelanggan masing-masing mengenai penyelesaian aduan awam meliputi tatacara tindakan, masa yang diambil, tindakan susulan penyelesaian aduan serta tindakan pembetulan bagi memastikan aduan yang serupa tidak berulang lagi.
Hasilnya ialah BPA akan mengeluarkan laporan tahunan mengenai prestasi kerjanya yang bersangkutan dengan pemantauan rapi ke atas kes-kes aduan awam yang telah dikendalikan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Laporan audit kecekapan pengendalian pengaduan awam ini sepatutnya didedahkan kepada pengetahuan orang awam ataupun setidak-tidaknya dibahaskan di dalam Parlimen.
Ini bagi memberi peluang kepada rakyat mengetahui sejauh manakah keberkesanan agensi dan jabatan kerajaan melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing bersangkutan dengan aduan, keluhan dan rintihan rakyat meliputi pelbagai masalah seperti keselamatan, pencemaran alam sekitar, kesihatan, kebajikan, salah guna kuasa, kegagalan penguatkuasaan dan sebagainya.
Pematuhan kepada PKPA bil.4/92 oleh setiap agensi dan jabatan kerajaan mesti didedahkan. Kepincangan dan kekurangan pelaksanaan serta sebab-sebab kegagalan agensi dan jabatan kerajaan melaksanakan PKPA bil.4/92 itu juga harus juga dimaklumkan.
Tindakan-tindakan pembetulan yang telah diambil oleh pelbagai pihak untuk mengatasi kepincangan serta kelemahan prosedur ataupun kaedah penyelesaian aduan perlu juga dimaklumkan.
Dengan cara ini sahaja orang ramai lebih berkeyakinan dengan sistem penyampaian khidmat awam secara jujur, telus dan berkesan. Kepercayaan terhadap sistem ini akan lebih meyakinkan rakyat terhadap ketegasan kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatannya.
Keahlian lembaga yang terdiri daripada pelbagai wakil jabatan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media juga adalah sangat dialu-alukan. Melalui sinergi dan jalinan kerjasama ini BPA akan mendapat manfaat dalam memperkasakan peranannya dalam penyelesaian aduan awam.
Ini membolehkan juga BPA mengenal pasti elemen-elemen baru bagi memantapkan pengetahuan dan kepakaran mereka dalam aspek perundangan, prosedur, jenayah perdagangan, penipuan, salah guna kuasa, konspirasi, penyelewengan dan sebagainya.
Tindakan
Peranan media yang sering mendedahkan aduan rakyat yang tidak diambil tindakan oleh agensi dan jabatan kerajaan amat bertepatan sekali. Setiap aduan yang tidak diambil tindakan segera oleh pihak yang berkaitan sering dikaitkan dengan aspek niat dan tujuan jahat.
Kemungkinan polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Bahagian Jenayah Perdagangan, Jabatan Peguam Negara dan sebagainya boleh juga dilantik menganggotai ahli lembaga tersebut.
BPA juga disaran menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti kepuasan pelanggan terhadap penyelesaian aduan mereka. Kajian yang bebas perlu dijalankan dan bukan hanya mendapatkan maklum balas daripada agensi pelaksana yang kebiasaannya melaporkan perkara-perkara yang baik sahaja.
Tindakan punitif terhadap jabatan yang gagal melaksanakan arahan PKPA bil.4/92 hendaklah dilaksanakan secara tegas dan adil. Penghargaan terhadap jabatan yang cemerlang dalam penyelesaian aduan awam hendaklah juga diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan anugerah kualiti yang terbaru dalam kecekapan pengurusan aduan awam.
Alasan yang biasa diberikan oleh agensi dan jabatan kerajaan ialah kekurangan anggota dan kakitangan jabatan sebagai sebab utama gagal dalam menyampaikan perkhidmatan yang baik bagi menyelesaikan aduan rakyat. Tetapi agak pelik juga apabila kerajaan meluluskan pertambahan peruntukan, penstrukturan semula dan pertambahan kakitangan, prestasi serta produktiviti agensi dan jabatan tertentu bertambah merosot.
Audit dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Perbendaharaan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan lain-lain ke atas jabatan yang berkaitan bagi menilai sejauh mana keberkesanan dan faedah penstrukturan semula, penambahan kakitangan dan penambahan peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya.
Siasatan terhadap peruntukan yang dibelanjakan ke atas sistem komputerisasi yang sepatutnya dapat mempertingkatkan cara dan kaedah bekerja yang lebih cepat serta cekap (MAMPU), perbelanjaan peruntukan projek-projek pembangunan yang mendatangkan faedah bukan pembaziran (ICU), pembelian peralatan yang tidak dimanfaatkan penggunaannya sepenuhnya (Perbendaharaan), output pencapaian prestasi kerja bagi setiap perjawatan (JPA) yang telah diluluskan oleh kerajaan dan sebagainya perlulah diteliti juga.
Terdapat jabatan tertentu yang masih terkial-kial dalam penyediaan spesifikasi tugas meskipun telah beberapa tahun mendapat kelulusan penstrukturan semula dan penambahan kakitangan.
Aspek yang paling penting ialah mendapatkan maklum balas daripada pegawai bawahan terhadap permasalahan kepimpinan jabatan yang sudah tentu akan dapat membongkar isu penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah pihak pengurusan tertinggi jabatan lesu dan kaku dalam mencartakan visi, misi serta hala tuju jabatan yang mereka pimpin. Sekiranya permasalahan dalaman ini tidak diselesaikan dengan segera, hasrat kerajaan untuk melihat jabatan tersebut menyelesaikan masalah rakyat tidak akan tercapai.
Malahan akan menimbulkan masalah pengurusan yang perlu ditangani oleh kerajaan secara bijaksana pula untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku.
BPA diharap akan terus diperkasakan dan wujud sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih berintegriti.
Ismail Farihina
No comments:
Post a Comment