Tuesday, 22 February 2011

Kepincangan pengurusan air terdedah


Krisis kualiti bekalan air yang tidak mencapai tahap kepuasan pengguna kini mula mengisi dimensi pengurusan air di negara kita ini. Kejadian pencemaran ammonia dalam bekalan air minuman di kawasan Lembah Klang baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai keresahan orang ramai terhadap mutu air minuman yang dibekalkan.


Cadangan untuk menetapkan indeks kepuasan pengguna telah dilontarkan untuk mendapat pandangan pelbagai pihak.Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang.Faktor ekonomi, teknologi, sosial, piawaian yang ditetapkan,sistem rebat dan sebagainya memerlukan penelitian yang lebih lanjut sebelum ia dapat dilaksanakan.



Masalah pencemaran air sungai bukanlah satu isu baru bahkan telah mula bertapak selari dengan kemajuan pesat pembangunan ekonomi negara. Air yang merupakan anugerah dan rahmat daripada Tuhan Pencipta untuk manusia hamba-hambanya telah disalahgunakan.
Kegunaan berfaedah air seperti menampung keperluan bekalan air minuman, perikanan, rekreasi, pengairan dan pelayaran telah dihadkan skop penggunaannya oleh tingkah laku manusia sendiri.



Apa yang berlaku kini ialah sungai dijadikan sebagai tempat menakung segala jenis buangan industri, kumbahan,domestik dan sebagainya. Kualiti air sungai semakin merosot dan tidak berupaya untuk menampung kegunaan berfaedah yang dinyatakan tadi.



Perubahan gaya hidup selaras dengan kemajuan negara telah mengubah sistem bekalan air yang dibekalkan melalui saluran paip ke rumah-rumah. Kalau dulu penggunaan air sungai untuk bekalan air minuman dan mandi-manda yang diperoleh secara percuma, kini orang ramai terpaksa membayar harga yang ditetapkan untuk mendapat bekalan air bagi keperluan penggunaan mereka. Tiada istilah air percuma lagi ketika ini.



Sungai yang suatu ketika dulu yang menjadi nadi kehidupan kita telah dikotori dan tidak sesuai lagi untuk digunakan bagi tujuan bekalan air minuman apatah lagi untuk tujuan mandi-manda.Penswastaan bekalan air telah mengambil tempat bagi memastikan keperluan air dapat dibekalkan kepada orang ramai.



Air telah dijadikan barang niaga yang mengundang malapetaka jika tidak diuruskan secara beramanah.



Kenaikan tarif air dijangka akan berlaku sedikit masa lagi. Orang ramai akan dipaksa untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran. Senario yang sama seperti kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen baru-baru ini. Apakah pilihan yang ada buat pengguna? Sungai yang dulunya jernih dan bersih kini sudah dicemari.



Nikmat mendapat air percuma sudah tiada lagi kini.Inilah balasan kepada mereka yang kufur nikmat Allah.



Pelbagai polisi kawalan telah diperkenalkan untuk memastikan sungai sentiasa dapat dikawal kebersihannya. Pelbagai agensi dan jabatan telah ditubuhkan bagi mengawal selia kebersihan air.Beratus kajian telah dijalankan untuk memastikan sungai terjamin kebersihannya.Timbul persoalan kini.



Apakah yang telah berlaku dengan semua kajian, polisi dan agensi yang telah ditubuhkan itu? Sehingga memaksa sebuah Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut krisis air yang berlaku.



Krisis bekalan air sewaktu tahun 1997 dulu adalah disebabkan oleh musim kemarau yang berpanjangan. Pencemaran sungai yang disebabkan oleh kadar pencemaran yang tinggi dan kadar pendawasan yang rendah akibat air sungai yang cetek telah memaksa penutupan loji rawatan air yang seterusnya menjejaskan bekalan air minuman kepada pengguna.Kali ini pula kita berdepan dengan krisis air berlebihan kerana hujan lebat dan banjir.



Sudah menjadi kebiasaan, pihak yang tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan melepaskan sisa-sisa buangan ke dalam sungai sewaktu hujan lebat. Mereka beranggapan kadar pendawasan yang tinggi akan membantu mencairkan kepekatan bahan pencemar dan tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.



Namun perbuatan jahat mereka ini akhirnya terbongkar dengan kedapatan paras kepekatan ammonia yang tinggi yang telah menyebabkan bekalan air ke rumah-rumah berbau najis. Iktibar daripada insiden ini ialah ia telah mendedahkan kepincangan pengurusan air dari segi kuantiti dan kualitinya dan memerlukan langkah penyelesaian yang jitu.



ISMAIL FARIHIN (WARTAWAN UTUSAN)

No comments:

Post a Comment