Tuesday, 22 February 2011

Polisi kawal alam sekitar tidak selaras



Banyak kajian dan penyelidikan telah dijalankan terhadap pencemaran udara di Lembah Klang. Kajian oleh Prof. Datuk Dr. Sham Shani, bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia begitu banyak berkisar kepada permasalahan ini merangkumi aspek punca-punca pencemaran, modelling, serakan dan taburan, faktor klimatologi dan meteorologi, beban pencemaran dan sebagainya.


Agak menghairankan juga segala penemuan hasil kajian dan penemuan saintifik ini gagal diterjemahkan kepada sebarang bentuk polisi kawalan bagi mengawal masalah pencemaran di sekitar Lembah Klang.



Bagaikan ada jarak pemisah di antara saintis dan pentadbir. Seolah-olah tiada kesinambungan dalam meneruskan serta merealisasikan penemuan kajian ini kepada pembentukan polisi pengurusan alam sekitar kawasan Lembah Klang. Lain yang dikaji lain pula yang dilaksanakan.
Mungkin kedua-dua pihak, saintis dan pentadbir tidak pernah berbincang dalam perkara ini. Akhirnya setiap polisi pembangunan yang melibatkan kawasan Lembah Klang seperti caca- marba dan lihatlah apa yang terjadi kepada persekitarannya waktu ini.



Mengenai krisis bencana jerebu yang melanda Lembah Klang baru-baru ini, saya berasa hairan terhadap koordinasi dan penyelarasan bagi menangani permasalahan ini. Terlalu banyak persoalan yang berlegar kepada kuasa sebenar siapa yang berhak dalam mengetuai krisis bencana alam ini.



Contoh yang jelas ialah apabila Kabinet menyerahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk isytihar darurat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500, tetapi guru besar membuat keputusan penutupan sekolah dan lain-lain lagi. Kelihatan sebagai tiada kesepakatan dan koordinasi bila berdepan dengan situasi krisis seperti ini.



Kekeliruan



Di mana peranan Jawatankuasa Bencana Jerebu Peringkat Kebangsaan yang sepatutnya menasihatkan Kabinet atas setiap perkara berkaitan keputusan yang akan dibuat tanpa menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada rakyat.



Perkara yang sama juga berlaku apabila semua sekolah di sekitar Kuala Lumpur diarahkan tutup selama dua hari sedangkan sekolah-sekolah berdekatan yang terletak dalam Selangor dibenarkan meneruskan sesi persekolahan.



Agak janggal dan pelik apabila kita fikirkan keputusan yang telah dibuat. Sekiranya kita merujuk kembali kepada segala maklumat kaji cuaca, modelling, kualiti udara semasa, topografi, terrain, halaju dan arah tiupan angin _ sudah tentu ramalan yang lebih baik dapat dibuat bagi membantu membuat keputusan apabila berdepan dengan krisis seperti ini.



Sekitar Lembah Klang akan mengalami kesan pencemaran jerebu yang hampir sama dalam keadaan cuaca sekarang ini. Keadaan hanya akan bertambah baik apabila ada hujan yang lebat ataupun angin kencang yang menyerakkan bahan jerebu tersebut ke tempat lain.



Persiapan bagi menghadapi senario kes paling teruk jerebu ini sepatutnya telah digerakkan sebelum musim kering melanda negara kita. Jangkaan bagi perkara-perkara yang kita sudah sedia maklum sepatutnya telah diperkemaskan lebih awal lagi. Ini termasuklah mengadakan latihan bencana krisis, pertingkatkan penguatkuasaan, kempen kesedaran, hebahan maklumat, sistem amaran awal, sistem sokongan pemantauan dan pengawasan kualiti udara dan lain-lain lagi.



Begitu juga dengan kerjasama yang perlu diraih daripada kerajaan Indonesia setiap tahun! Agak memalukan juga apabila mengetahui sebanyak 10 syarikat perladangan Malaysia bertanggungjawab di atas kebakaran yang berlaku di Sumatera yang menyebabkan masalah jerebu melanda negara kita ini.



Hukuman 



Tambahan pula sewaktu negara di ambang menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, perbuatan keji mereka yang tidak bertanggungjawab ini dilihat sebagai petualang bangsa dan tidak punya semangat patriotik langsung! Hukuman yang setimpal harus dikenakan kepada mereka yang dianggap sebagai petualang bangsa dan negara ini. Maruah negara serta seluruh rakyat Malaysia telah dijatuhkan!



Semoga krisis jerebu pada kali ini akan mengajar kita erti kemanusiaan dan hubung kaitnya dengan Pencipta, manusia dan alam sekitar. Krisis ini akan menyedarkan kita betapa kuasa yang disalahgunakan dengan menzalimi diri sendiri, manusia lain dan alam sekitar hanya mengundang kemurkaan Allah dan akan memberi kemudaratan yang berpanjangan terhadap kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini.



Jerebu sebenarnya sesuatu pengajaran yang terbaik mengenai integriti, akauntabiliti, transparensi, amanah, tanggungjawab dan sebagainya



Ismail Farihin

No comments:

Post a Comment