Tidak dapat dinafikan liputan berita alam sekitar yang dilaporkan di dalam media cetak,elektronik dan juga blog kurang mendapat perhatian ataupun 'rating'yang agak rendah berbanding dengan berita-berita jenayah,ekonomi,infotainment,politik,skandal dan sebagainya.Fenomena ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya ialah kurang kesedaran masyarakat perihal pentingnya alam sekitar mempengaruhi kehidupan mereka.
Isu alam sekitar hanya menjadi berita hangat apabila melibatkan krisis besar seperti buangan sisa toksik merbahaya yang mengancam nyawa orang ramai,jerebu berpanjangan sewaktu musim kering,kes pencemaran air sungai yang mengakibatkan terputusnya bekalan air bersih dan selamat kepada pengguna ataupun kemalangan industri yang melibatkan kebocoran gas beracun yang berpotensi mengancam nyawa manusia.Berita alam sekitar hanya menjadi berita tempelan semata-mata sewaktu di luar masa krisis.
Meskipun umum merasakan perlunya berita alam sekitar diberi liputan yang meluas dan sama 'rating' dengan berita-berita lain,namun faktor nilai mempengaruhi keputusan pihak yang terbabit di dalam membuat keputusan samada mahu meletakkannya sebagai berita utama ataupun semata-mata mengisi slot masa yang terluang selepas diisi dengan berita-berita utama yang lebih mempunyai nilai beritanya.
Persepsi sebegini harus diperbetulkan segera.Satu kaedah pelaporan berita alam sekitar yang strategik perlu dicipta supaya ianya dapat menarik perhatian masyarakat
untuk menganalisa dan mengikuti perkembangan sesuatu isu yang dilaporkan.Isu alam sekitar merentasi pelbagai dimensi dan skop beritanya harus juga meliputi aspek-aspek sosio-ekonomi dan politik,perundangan, bukan hanya bersifat teknikal semata-mata.Kaedah 'investigative reporting' juga harus digunapakai bagi menjadikan berita tersebut mempunyai nilai berita yang tinggi.
Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar dapat memartabatkan berita alam sekitar setanding dengan berita-berita lain.Sejajar dengan tema sambutan alam sekitar sedunia tahun 2008 ini "Kick the Habit - Towards a Low-Carbon Economy" sudah sewajarnyalah isu ini diperdebatkan di peringkat nasional dan masyarakat dididik serta diberi kesedaran yang menyeluruh mengenai usaha-usaha Kerajaan dan bagaimana rakyat dapat bersama-sama merealisasikan usaha-usaha tersebut.Kita tidak mahu melihat berita mengenai sambutan Hari Alam Sekitar semata-mata yang lebih bersifat publisiti dan tidak meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat.Juga kita tidak mahu melihat amalan 'business as usual' selepas sambutan selesai dilaksanakan.
Sudah sewajarnyalah juga sikap yang sedemikian ditendang keluar dari kamus pengurusan alam sekitar negara!
No comments:
Post a Comment