Feb 13, 07 3:45pm
Saya kagum dengan keberanian Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) dalam menyuarakan pandangan mengenai usaha-usaha ke arah 'menjenayahkan perang' melalui penubuhan suruhanjaya serta tribunal untuk mendengar representasi mangsa serta bentuk hukuman ke atas penjenayah perang melalui perbicaraan tribunal ini nanti.
Sememangnya, pandangan serta visi TDM yang melangkau jauh ke depan itu, mendapat pujian dan sokongan pelbagai pihak yang menentang keganasan peperangan serta mereka yang bersimpati dengan mangsa perang yang tidak mendapat ruang pembelaaan, baik melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ataupun perundangan antarabangsa.
Saya ingin mencadangkan agar fungsi suruhanjaya serta tribunal ini diperluaskan meliputi keganasan peperangan, bukan sahaja di Iraq, Palestin dan Lebanon, malahan ke seluruh dunia. Melalui cara ini, kekuatan 'networking' serta sokongan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia akan dapat diraih secara mampan. Keanggotaan suruhanjaya dan tribunal ini juga perlu terdiri daripada tokoh-tokoh antarabangsa yang komited serta berjuang dalam menegakkan keamanan dunia serta memerangi keganasan perang.
Dengan cara ini, kredibiliti suruhanjaya serta tribunal tersebut, akan mendapat perhatian PBB dan badan serta agensi di bawah PBB sendiri. Kekuatan suruhanjaya serta tribunal ini akan digeruni oleh ketua-ketua negara yang bercita-cita untuk memulakan peperangan. Malahan, bagi syarikat pengeluar senjata berbahaya peperangan serta ahli-ahli sains yang mencipta senjata ini, kes mereka juga perlu dibawa kepada suruhanjaya dan tribunal ini.
Sesungguhnya, masih banyak jalan berliku yang perlu dilalui bagi merealisasikan harapan TDM ini. ‘Agenda Keamanan’ yang telah diusahakan ini juga perlu diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan. Sekiranya kita melabelkan ekonomi Amerika Syarikat sebagai ‘war economy’ (ekonomi perang), maka model ‘peace economy’ (ekonomi perdamaian) yang diamalkan oleh beberapa negara, juga perlulah dipromosikan sebagai alternatif kepada model ekonomi ‘ala koboi’ yang diamalkan oleh Amerika dan sekutunya.
Kerjasama dengan badan serta agensi antarabangsa di bawah PBB yang terlibat dalam agenda kedamaian dan kemanusiaan, perlulah dimantapkan. Jika UNDP dan Bank Dunia, contohnya, boleh diwujudkan bagi menyokong usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar sejagat, maka kenapakah tiada badan ataupun agensi khas dibentuk di bawah PBB untuk menggalakkan usaha pemuliharaan keamanan sejagat?
Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) perlulah dimantapkan dengan pembiayaan serta pengisian kakitangan yang komited dengan agenda keamanan. Perancangan kerja, penubuhan sekretariat tetap serta 'rangkaian' mantap di seluruh dunia, perlulah digerakkan segera.
Penubuhan 'kumpulan pemikir' bagi merancang, memikir serta melaksanakan agenda keamanan ini, perlu diwujudkan segera untuk membantu TDM merealisasikan visi keamanan sejagat ini. Mungkin dalam persidangan yang akan datang, gabungan PGPO dengan NGO antarabangsa di seluruh dunia akan dapat mencartakan agenda keamanan sejagat ini. Melalui strategi penggunaan senjata ‘pendapat awam’ (public opinions) yang dianggap sebagai senjata 'berkuasa besar’ kedua selepas senjata ketenteraan, gabungan bersepadu, terancang dan terarah ini, dapat digemblengkan bagi memaksa reformasi PBB sendiri.
Semoga TDM diberi Allah kesihatan dan pemikiran bernas serta tajam untuk terus mengemudi agenda keamanan ini. Barisan pemimpin pelapis perlulah dipersiapkan bagi menghayati konsep pemikiran TDM. Agak malang sekiranya usaha murni ini hanya berjaya atas sandaran kepada kekuatan TDM semata-mata, tanpa penghayatan sepenuhnya oleh barisan pelapis. Saya berdoa semoga TDM akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel di atas usaha gigih serta sumbangan besar beliau bagi mewujudkan keamanan sejagat.
Ismail Farihin
No comments:
Post a Comment