Tuesday, 22 February 2011

Membudayakan elemen urustadbir dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber air


THURSDAY, MAY 29, 2008

Wednesday, March 15, 2006


Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerimapakai resolusi A/RES/47/193 bertarikh 22 Disember 1992 bagi menetapkan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Air Sedunia.Bermula semenjak tahun 1993,pelaksanaan sambutannya menepati saranan serta cadangan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pembangunan dan Alam Sekitar (UNCED) yang terkandung di dalam Bab 18 (Sumber Air Daratan) Agenda 21.



Setiap negara dijemput untuk memperingati hari tersebut bersesuaian dengan konteks masing-masing, untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seperti mempromosikan kesedaran awam melalui penerbitan dan penyebaran dokumentari, penganjuran persidangan, perbincangan meja bulat, seminar dan pameran yang berkaitan dengan pembangunan dan pemuliharaan sumber air serta pelaksanaan cadangan Agenda 21.



Tema Hari Air Sedunia 2006 ialah "Air dan Budaya/Water and Culture". Menginsafi sumber air daratan seperti sungai, tasik, telaga dan sebagainya penting bagi nadi kehidupan kita, sudah sewajarnyalah Hari Air Sedunia kali ini disambut dengan penuh iltizam dan kesungguhan yang jitu bagi muhasabah diri dalam cara kita menguruskan sumber air selama ini.



Mengimbas kembali kejadian pencemaran sumber air sungai di negara kita yang kini kian semakin mencapai tahap kritikal, sudah sewajarnyalah semua pihak menilai semula budaya urustadbir yang diamalkan berhubungkait dengan pengurusan sumber air ini. Pengurusan yang bercorak reaktif, menuding jari, budaya pengurusan dalam zon selesa, jahil dalam menangani krisis air, lebih cakap dari bertindak, mencari kambing hitam dan sebagainya adalah sinonim dengan sindrom NIMBY-RIEBY (Not in my backyard-river is everybody backyard).



Hari Air Sedunia disambut sehari selepas sambutan Hari Perhutanan Sedunia yang jatuh pada 21 Mac setiap tahun. Kebiasaannya pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan penanaman pokok, perlindungan kawasan tadahan air, perluasan kawasan hijau menjadi sebahagian dari agenda sambutan Hari Perhutanan sedunia.



Kepentingan hutan sebagai kawasan tadahan air, kepelbagaian biologi, fauna dan floranya, kajian saintifik mengenai spesis perubatan, pengimbang cuaca mikro, tabung pengeluaran oksigen dan sebagainya amat bernilai sekali. Sudah sewajarnyalah kepentingan 2 hari tersebut disambut oleh kita dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat.



Urustadbir sumber air perlulah dilaksanakan dengan menggalakkan budaya ketelusan, pertanggungjawaban, integriti, keterbukaan, keterlibatan, akauntabiliti,keberkesanan dan kesatuan di kalangan pelbagai pihak yang terlibat. Ini bermaksud setiap peraturan, perundangan, proses, tatacara dan kuasa bagi mentadbir polisi berkaitan sumber air dilaksanakan dengan memenuhi aspek budaya urustadbir yang mantap.



Pematuhan terhadap perundangan kawalan pencemaran bagi memastikan sumber air mentah bersih dan tidak tercemar, perlindungan kawasan tadahan air dari pencerobohan, bekalan air minuman yang bersih dan selamat serta mematuhi spesifikasi kesihatan yang telah ditetapkan, kepentingan pengguna yang diasaskan kepada indeks kepuasan pengguna bagi mendapatkan mutu bekalan air minuman yang bersih dan selamat dan sebagainya perlulah menjadi asas pengurusan dan dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.



Penanda aras kecapaian perlaksanaan program penguatkuasaan, kawasan tadahan air yang dilindungi, spesifikasi mutu bekalan air dan lain-lain lagi akan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat jelata.Peranan yang dimainkan oleh pihak media di negara kita bila berdepan dengan krisis pengurusan sumber air amat menggalakkan dan sewajarnya dipertingkatkan dari semasa ke semasa.



Melalui pendedahan demi pendedahan mengenai isu berkaitan sumber air seperti pencemaran sungai, pencerobohan kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air, sama ada dilakukan secara 'investigative reporting' ataupun pelaporan biasa, kesedaran serta keprihatinan masyarakat di negara kita ini mengenai kepentingan sumber air akan dapat diperkasakan.



Usaha media selama ini hendaklah dilihat secara positif dan bukannya dianggap mempunyai agenda tersembunyi bertujuan untuk mendedahkan kelemahan dan kepincangan sistem politik dan pengurusan sedia ada.Keterlibatan masyarakat dalam memberikan pandangan dan hak bersuara mereka mengenai isu urustadbir sumber air akan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.



Kepuasan rakyat sebagai pengguna sumber air yang utama menjadi kayu ukur bagi kejayaan sesuatu program dan penerimaan mereka terhadap polisi yang dilaksanakan secara telus dan berintegriti dapat menghakis segala tentangan terhadap perlaksanaan sesuatu program tersebut. Situasi 'menang-menang' akan sentiasa dapat diwujudkan tanpa mengorbankan kepentingan satu pihak dengan pihak yang lain.



Perundangan yang telah lapuk, bertindih serta tidak relevan lagi pada masa kini perlulah dipinda secepat mungkin. Tidak ada gunanya kita mempunyai puluhan perundangan yang berkaitan dengan sumber air tetapi gagal dalam melaksanakan peruntukan perundangan yang termaktub.



Penguatkuasaan yang lesu serta lemah dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan mencerminkan amalan budaya negatif seperti rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan buta perundangan. Penguatkuasaan yang tegas, konsisten, kredible, adil, saksama dan telus perlulah dilaksanakan bagi memulihara sumber air negara dari terus dicemari. Penanda aras pencapaian penguatkuasaan perlu juga diperkenalkan.



Budaya permuafakatan dalam menyelesaikan masalah di kalangan agensi dan Jabatan Kerajaan yang bertanggungjawab dalam mentadbir sumber air perlulah diperkasakan. Prosedur kerja, proses perlesenan, penguatkuasaan bersepadu, perancangan holistik melibatkan semua 'stakeholders' perlulah dikemaskini bagi memantapkan kawalselia pengurusan sumber air. Fungsi dan peranan agensi dan Jabatan Kerajaan yang bertindih perlulah diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan dan mewujudkan penyelarasan yang berterusan.



Memetik kata-kata dari seorang kawan...."Sungai jernih dan bersih adalah cermin kejernihan tamadun manusia.Sungai kotor dan tercemar petunjuk kejahilan peradaban dan budaya manusia..Sungai nadi kehidupan, memerlukan satu pembelaan".



Ismail Farihin
Bukit Beruntung

No comments:

Post a Comment