Tuesday, 22 February 2011

Rangka DAN wajar diperhalusi lagi


Langkah kerajaan mengumumkan rangka Dasar Automotif Nasional (DAN) pada 19 Oktober lalu adalah sesuatu yang telah lama dinantikan dan dirasakan perlu bagi memandu industri automotif negara ke satu destinasi yang terancang dan terarah.


Memandangkan Malaysia telah hampir 20 tahun terlibat di dalam industri pembuatan kereta nasional Proton yang pertama dalam tahun 1985 dan keperluan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sudah sewajarnyalah satu polisi dan dasar yang jelas diperkenalkan.



Agak menarik juga jika diamati bagaimanakah negara berjaya mengemudi industri automotif nasional Proton dan Perodua tanpa sebarang dasar yang digubal selama ini. Negara kita sepatutnya telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) sejak tahun 2003 lagi tetapi telah menangguhkannya sehingga 2005.



Dengan adanya rangka Dasar Automotif Nasional ini, Malaysia diharap akan terus dapat bersaing secara kompetitif di peringkat ASEAN dan global.



Isu pengeluaran pengesahan import (AP) yang menjadi kemelut baru-baru ini boleh dianggap sebagai rahmat yang tersembunyi. Kerana isu AP yang hangat diperdebatkan inilah merupakan titik tolak kelahiran rangka Dasar Automotif Nasional.



Dasar pemberian AP yang banyak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu selama ini telah mengakibatkan industri kereta nasional Proton menghadapi persaingan yang sengit dalam negara sendiri.



Beberapa dasar yang menyentuh AP seperti yang telah diumumkan Rabu minggu lalu itu diharapkan telah dapat menyelesaikan isu pokok berhubung dengan AP itu sendiri.
Garis panduan baru struktur cukai kenderaan juga sesuatu yang amat menarik perhatian pengguna di mana perubahan harga ke atas kereta jenama im-port akan menentukan peningkatan permintaan di pasaran dan sudah tentu pula mendatangkan persaingan terhadap kereta yang dikeluarkan oleh Proton dan Perodua dalam saiz dan kapasiti enjin kereta yang sama.



Harga



Oleh yang demikian Proton dan Perodua perlulah memperkenalkan beberapa skim potongan harga yang menarik untuk memancing pelanggan dan kekal bersaing dengan pengeluar kereta import tanpa mengabaikan kualiti dan jaminan mutu produk. Hasrat seluruh rakyat Malaysia untuk melihat `harga patut' keluaran kereta nasional yang mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat akan menjadi realiti.



Adalah menjadi impian dan hasrat rakyat untuk melihat penghasilan enjin keretanya sendiri tanpa bergantung kepada syarikat-syarikat luar seperti Mitsubishi, Renault, Lotus dan sebagainya. Telah banyak pelaburan yang dilakukan bagi merealisasikan impian ini seperti penajaan Petronas dalam Formula One dengan syarikat Sauber, pelaburan dalam Lotus dan sebagainya namun impian untuk melihat penghasilan enjin kereta buatan Malaysia masih lagi jauh daripada realiti.



Keupayaan vendor dan pembekal dalam penghasilan komponen-komponen pembuatan alatan kereta seperti komponen enjin, bahagian badan kereta, sistem brek, stereng, sistem transmisi dan elektronik, injeksi, suspensi dan lain-lain perlulah dipertingkatkan juga.
Adalah diharapkan rangka Dasar Automotif Nasional ini akan dapat diperhalusi lagi sebelum satu dasar yang lebih komprehensif dapat digubal.



Memandangkan perlunya ada tindakan yang terselaras dalam melaksanakan pelan strategi dasar ini, adalah dicadangkan supaya sebuah institusi khusus ditubuhkan bagi menyelaraskan segala perancangan dan pelan tindakan dasar tersebut.



Sebuah institusi automotif nasional perlu ditubuhkan dengan segera yang bertanggungjawab untuk menyokong dan memastikan industri automotif negara dapat bersaing secara kompetitif di pasaran antarabangsa.



Antara fungsi penting institusi ini ialah menyelaraskan agihan peruntukan dana pelarasan industri, pemberian insentif, geran-geran latihan, penyelidikan dan pembangunan, khidmat sokongan pembangunan produk, pembekal dan sumber manusia, memastikan pematuhan piawaian teknikal melalui skim ujian dan pensijilan tertentu, penggubalan polisi-polisi automotif dan sebagainya.



Dengan cara ini pelaburan dan kemudahan peruntukan kerajaan yang tinggi dalam komponen-komponen dasar tersebut dapat dipantau keberkesanannya dan memastikan pulangan yang berfaedah dapat diperoleh.



Ismail Farihin
Bukit Beruntung,
Selangor.

No comments:

Post a Comment